Sukan

Vida sedia bersaing secara sihat dapatkan Kelantan FC

Vida optimis mampu melakukan yang terbaik buat skuad The Red Warriors (TRW) kerana segala perancangan sudah berada dalam ‘kepalanya’. – Gambar fail

USAHAWAN kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman, kekal dengan pendiriannya untuk menjadi pemilik Kelantan FC biarpun terpaksa berdepan ahli perniagaan muda, Erfan Akif Ruslan.

Dia yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) optimis mampu melakukan yang terbaik buat skuad The Red Warriors (TRW) kerana segala perancangan sudah berada dalam ‘kepalanya’.

“Saya tidak berganjak (serius mahu mengambil alih Kelantan FC). Saya tidak akan sesekali menarik diri daripada menjadi pemilik Kelantan FC.

“Apapun bersaing secara sihat dan terserah kepada pemilik Kelantan FC ketika ini untuk memilih siapa yang layak,” katanya.

Sebelum ini, DSV memberitahu sudah mengadakan perbincangan dengan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, di George Town, Pulau Pinang tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

“Perbincangan pertama dengan Norizam sudah berlangsung pada Sabtu lepas. Harga pula masih dalam rundingan,” tambahnya.

DSV mendedahkan akan melakukan penstrukturan semula terhadap pengurusan pasukan itu menerusi perancangan rapi dan pelan jangka tempoh tertentu.

“Perlu bergerak seiring antara kelab utama dan pasukan di peringkat akar umbi.

“Soal duit, perancangan buat pasukan dan bertemu dengan peminat serta pemain tiada masalah, kita boleh berjumpa,” katanya.

DSV sebelum ini secara rasmi menyatakan hasratnya mahu membeli Kelantan FC dalam usaha menyelamatkan pasukan itu yang dibelenggu kemerosotan prestasi.

Bagaimanapun, dia menerima saingan daripada Erfan yang turut berminat membeli kelab itu walaupun diletakkan harga RM10 juta.

Sumber: Sinar Harian