KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih industri penerbangan dijangka mencecah AS$25.7 bilion (AS$1=RM4.67) pada 2024, menyumbang 2.7 peratus dalam margin keuntungan bersih, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam kenyataan pada Rabu, katanya keuntungan bersih dijangka meningkat sedikit berbanding 2023, yang diramalkan sebanyak AS$23.3 bilion (margin keuntungan bersih 2.6 peratus).
Menurut IATA, keuntungan operasi industri dijangka mencapai AS$49.3 bilion pada 2024 berbanding US$40.7 bilion pada 2023, manakala jumlah perolehan pada 2024 dijangka menokok 7.6 peratus tahun ke tahun untuk mencapai AS$964 bilion.
Bagaimanapun, pertumbuhan perbelanjaan dijangka lebih rendah kepada 6.9 peratus kepada AS$914 bilion.
“Kira-kira 4.7 bilion individu dijangka melakukan perjalanan pada 2024, angka tertinggi yang melebihi paras sebelum pandemik iaitu 4.5 bilion pada 2019,” kata IATA
Permintaan tinggi terhadap perjalanan di samping kapasiti terhad disebabkan isu rantaian bekalan yang berlarutan seterusnya mewujudkan situasi bekalan dan permintaan yang menyokong pertumbuhan hasil.
Hasil penumpang pada 2024 dijangka meningkat sebanyak 1.8 peratus berbanding 2023.
Menggambarkan situasi bekalan dan permintaan terhad, tahap kecekapan adalah tinggi dengan faktor muatan dijangka mencapai 82.6 peratus pada 2024, menokok sedikit berbanding 2023 (82 peratus) dan sama seperti 2019.
Bagi volum kargo, ia dijangka mencapai 58 dan 61 juta tan, masing-masing pada 2023 dan 2024.
Perolehan kargo dijangka menyusut kepada AS$111 bilion pada 2024, merosot daripada paras tertinggi sebanyak AS$210 bilion pada 2021 dan melebihi perolehan AS$101 bilion pada 2019.
Sementara itu, Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata, dengan mempertimbangkan kerugian besar yang dialami dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, keuntungan bersih berjumlah A$25.7 bilion yang dijangkakan pada 2024 merupakan lambang kepada daya tahan industri penerbangan.
“Orang ramai gemar melakukan perjalanan dan ini telah membantu syarikat penerbangan untuk kembali kepada tahap kesalinghubungan seperti sebelum pandemik. Peningkatan aspek pemulihan adalah luar biasa. Bagaimanapun, pandemik turut memberi impak buruk kepada sektor penerbangan dari segi pertumbuhan selama kira-kira empat tahun.
“Mulai 2024, prospek menunjukkan bahawa kita boleh menjangkakan lebih banyak corak pertumbuhan yang normal bagi penumpang dan kargo,” katanya.