Global

Undang-Undang Baru DBS Jepun: Perlindungan Terhadap Keselamatan Kanak-Kanak

Sekolah, pusat jagaan harian, dan tadika wajib merujuk calon pekerja untuk semakan rekod kesalahan seks oleh Agensi Kanak-Kanak dan Keluarga.

Pada Rabu, Parlimen Jepun meluluskan undang-undang baru yang memperkenalkan sistem untuk membolehkan majikan menyemak sama ada pemohon pekerjaan adalah pesalah seks yang disenaraikan dalam tempoh 20 tahun lepas. Tujuannya adalah untuk menghalang individu yang terlibat dalam jenayah seks daripada memasuki pekerjaan yang melibatkan kanak-kanak.

Sistem ini,yang dikenali sebagai “DBS Jepun” (Disclosure and Barring Service) merupakan sistem yang digunakan oleh Kerajaan British. Sistem tersebut akan memerlukan sekolah, pusat jagaan harian dan tadika untuk merujuk calon pekerjaan mereka untuk semakan rekod kesalahan seks oleh Agensi Kanak-Kanak dan Keluarga.

Pusat tuisyen dan kelab selepas sekolah boleh secara sukarela menyertai program ini, yang dijangka dilaksanakan sekitar tahun fiskal 2026 dan akan menerima sijil rasmi yang boleh digunakan dalam bahan pemasaran. Guru tuisyen bebas dan individu bekerja sendiri dikecualikan daripada sistem ini.

Kumpulan sokongan ibu bapa dan kanak-kanak telah melobi untuk sistem ini bagi melindungi keselamatan kanak-kanak berikutan beberapa kes penderaan seksual di pusat jagaan harian dan pusat tuisyen dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jika agensi berkenaan mengesahkan bahawa pemohon pekerjaan telah dikenakan hukuman penjara bagi kesalahan seksual dalam tempoh 20 tahun lepas atau denda dalam tempoh 10 tahun lepas, individu itu akan diberitahu dan diberi pilihan untuk menolak tawaran kerja itu.

Jika mereka tidak menolak tawaran itu, agensi akan memberitahu majikan mengenai hasil semakan latar belakang mereka. Semakan ini meliputi kesalahan jenayah seperti hubungan seks tanpa kerelaan serta pelanggaran undang-undang tempatan seperti perbuatan sentuhan dan voyeurisme.

Dibawah undang-undang baru ini, majikan juga dikehendaki mengambil tindakan jika pekerja sedia ada didapati melakukan kesalahan seksual berdasarkan aduan daripada ibu bapa atau kanak-kanak walaupun tidak terdapat rekod jenayah seksual.

Bagaimanapun, untuk menyeimbangkan kebebasan individu dalam memilih pekerjaan mereka, kerajaan merancang untuk menetapkan garis panduan yang menentukan kriteria bagi majikan semasa melaksanakan langkah berjaga-jaga atau menangani dakwaan terhadap pekerja.

Langkah berjaga-jaga termasuk mengeluarkan pekerja daripada peranan yang melibatkan interaksi langsung dengan kanak-kanak dan memastikan tiada kanak-kanak ditinggalkan bersendirian dengan mereka. Jika majikan tidak dapat mengambil langkah-langkah tersebut, mereka juga berhak untuk memecat pekerja yang terlibat.

Rang undang-undang ini diluluskan oleh Dewan Kaunselor pada Rabu selepas mendapat kelulusan dari Dewan Perwakilan pada akhir Mei.

Sumber: BERNAMA