Tempatan

Ucapan Penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12) berkaitan Kementerian Dalam Negeri

VIDEO UCAPAN PENGGULUNGAN YB TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI BAGI PERBAHASAN KAJIAN SEPARUH PENGGAL (KSP) RANCANGAN MALAYSIA KE DUA BELAS (RMKe-12) DEWAN RAKYAT TAHUN 2023

Bismillahirrahmanirrahim.

Tan Sri Yang di-Pertua,

1. Saya mengucapkan terima kasih kepada seramai 26 orang

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam Sesi Perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP), Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12) di Dewan Yang Mulia ini dari 12 hingga

14 September 2023 yang antara lain telah menyentuh 32 isu berkaitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi-agensi di bawahnya. Sesi penggulungan saya pada hari ini akan dibahagikan kepada 4 kluster seperti berikut:

(i) Keselamatan dan Ketenteraman Awam;

(ii) Keimigresenan;

(iii) Pendidikan Kepenjaraan; dan

(iv) Warganegara.

Tan Sri Yang di-Pertua,

2. Saya akan memulakan ucapan saya dengan menjawab kenyataan berkaitan pembinaan dan naik taraf Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seperti mana yang dibangkitkan oleh YB Pokok Sena, YB Permatang Pauh, YB Jasin dan YB Tenom. Untuk makluman, cadangan pewujudan IPD baharu di kawasan Pokok Sena, Kedah tidak dimasukkan dalam Perancangan Strategik Polis Diraja Malaysia (PSPDRM) 2021 – 2025. Pada masa ini, Balai Polis Pokok Sena dalam kawasan Parlimen Pokok Sena terletak di bawah pentadbiran IPD Kota Setar. Jumlah kekuatan anggota yang bertugas adalah seramai 14 orang diketuai oleh Ketua Polis Balai berpangkat Sarjan Mejar. Jumlah penduduk di kawasan pentadbiran Balai Polis Pokok Sena adalah seramai 60,000 orang. Setakat ini, kekuatan tersebut dibantu oleh IPD Kota Setar serta memadai bagi menangani isu keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan berkenaan.

3. Bagi tahun 2023, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diluluskan peruntukan sebanyak RM243.7 juta di bawah peruntukan pembangunan DE bagi baik pulih dan naik taraf kuarters, IPD, balai polis, dan pos PGA serta perolehan kelengkapan. Semua peruntukan tersebut telah diagihkan kepada PDRM di seluruh negara mengikut keutamaan. Daripada jumlah tersebut, RM80,000.00 telah diperuntukkan kepada Balai Polis Kubang Semang. Buat masa ini, tiada kerja pembaikan yang diperuntukan untuk Balai Polis Kemabong. Walau bagaimanapun, penjimatan daripada keseluruhan peruntukan tersebut boleh digunakan untuk kerja-kerja menaik taraf balai berkenaan.

4. Bagi keperluan pembinaan Balai Polis Sungai Rambai di daerah Jasin, KDN mengambil maklum akan keperluan ini dan permohonan ini akan dikemukakan di bawah RP5 RMKe-12 pada tahun 2025 untuk pertimbangan Kementerian Ekonomi selanjutnya.

5. Berhubung isu 3R yang dibawa oleh YB Pagoh, KDN melalui penguatkuasaan pihak PDRM sentiasa komited dalam mendukung hak kebebasan bersuara, selagi mana mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, PDRM akan mengambil tindakan tegas dengan melakukan tangkapan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu tanpa mengira latar belakang, status dan kedudukan seseorang, yang melakukan kesalahan menghina, mempersenda atau memainkan isu-isu agama berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

6. Selain itu, pihak polis juga akan terus melakukan pemantauan ke atas penyebaran maklumat dan tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat elemen yang melibatkan sensitiviti kaum dan agama. Ini kerana, isu-isu sensitif tersebut boleh menjejaskan ketenteraman dan keharmonian rakyat jika tidak dibendung.

7. Menyentuh aspek keselamatan di sempadan darat dan laut dari Tawau ke Kalabakan seperti yang dibangkitkan oleh YB Kalabakan, terdapat satu projek pembangunan KDN di bawah Parlimen Kalabakan iaitu Projek Pembinaan Pos Poirgon, Kalabakan untuk kegunaan Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM dengan kos sebanyak RM2 juta sedang dalam fasa untuk memuktamadkan brif dan skop. Selain itu, KDN turut komited dalam aspek keselamatan di Kalabakan dan telah mengemukakan permohonan di bawah RP4 RMKe-12 bagi Projek Pembinaan IPD Kalabakan dan Balai Polis Kalabakan serta perumahan bagi anggota. Bengkel Value at Entry (VAE) bagi cadangan projek ini telah diadakan dari 25 hingga 28 Julai 2023. Pada masa yang sama, KDN juga telah memperuntukkan sebanyak RM500 ribu kepada PDRM untuk kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan kuarters Balai Polis Kalabakan.

8. Bagi aspek keselamatan sempadan laut, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sentiasa komited untuk memastikan situasi keselamatan sempadan khususnya di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) termasuk Parlimen Kalabakan dalam keadaan baik dan terkawal. Perolehan aset taktikal seperti floating boat (barge) di Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik serta cadangan perolehan Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) atau bot laju untuk ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sekitar pesisir dan perairan Tawau akan memperkukuhkan lagi aktiviti pemantauan di sempadan laut.

9. Penglibatan KDN dalam menjaga keselamatan negara adalah menyeluruh termasuklah dalam aspek pelancongan. Menyentuh perkara yang dibangkitkan oleh YB Bukit Bendera, KDN melalui Unit Polis Pelancong (UPP), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) berperanan untuk memberi bantuan dan perlindungan dan keselamatan kepada para pelancong dalam dan luar negeri. Sehingga kini (Julai 2023) UPP mempunyai kekuatan seramai 1,123 orang anggota di seluruh Malaysia. 5 buah negeri yang dikategorikan padat dengan tumpuan pelancong ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Sarawak.

10. Peranan dan fungsi utama UPP adalah memberi bantuan dan perlindungan serta rasa selamat kepada para pelancong dalam dan luar negeri dengan melakukan penugasan rondaan pencegahan jenayah di kawasan-kawasan pelancongan yang telah diwartakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Antara peranan-peranan lain UPP bagi memastikan keselamatan pelancong adalah seperti berikut:

(i) memberi kemudahan perkhidmatan dan keselamatan kepada para pelancong;

(ii) mencegah sebarang kejadian jenayah ke atas para pelancong;

(iii) memberi keutamaan dari segi layanan kepada para pelancong;

(iv) memastikan tempat-tempat tumpuan pelancongan di sekitar Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia terkawal dan terhindar daripada berlakunya kejadian jenayah;

(v) memastikan para pelancong tidak tertindas dan tidak menjadi mangsa kepada sebarang unsur-unsur penipuan;

(vi) memberikan panduan dan kesedaran kepada para pelancong dari segi undang-undang dan budaya tempatan;

(vii) mengawal dan mencegah sebarang aktiviti dan kegiatan salah laku dalam sektor perniagaan pelancongan;

(viii) memberi serta menyalurkan maklumat dan panduan kepada para pelancong yang ditimpa kemalangan dan mengalami kecurian serta kehilangan dokumen-dokumen penting; dan

(ix) menjamin perhubungan serta taraf perkhidmatan yang baik dan berpatutan dengan mana-mana agensi Kerajaan dan swasta yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan.

11. Berkaitan penggunaan teknologi bagi pengawasan di sempadan yang dibangkitkan oleh YB Padang Besar, KDN melalui Pasukan Gerakan AM (PGA), PDRM melaksanakan konsep penugasan rondaan secara berjalan kaki dan rondaan berkenderaan bagi menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan (show of force) di kawasan sempadan. Kekuatan anggota yang terlibat dalam satu-satu masa adalah seorang pegawai dan 8 orang anggota di pos-pos kawalan keselamatan PGA dengan kekerapan rondaan sebanyak 3 kali sehari bergantung kepada kekuatan anggota. Walau bagaimanapun, PGA turut sedang merancang penggunaan teknologi dalam membuat kawalan/risikan keselamatan di kawasan operasi. Untuk makluman, PDRM telah diluluskan peruntukan perolehan aset berteknologi di bawah RP1, RMKe-12 bagi perolehan 8 unit Drone Vertical Take Off and Landing (VTOL) dengan kos sebanyak RM25 juta dan perolehan 5 unit Mobile Surveillance Thermal Radar dengan kos RM7.5 juta di bawah RP2, RMKe-12. Kedua-dua aset tersebut masih dalam proses perolehan.

12. Selain itu, pada masa kini terdapat juga pengawasan keselamatan sempadan melalui penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang tembok/pagar keselamatan sebagai contoh di Padang Besar yang mana ia di bawah operasi dan kawal selia oleh Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. Dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara, KDN sedang melaksanakan kajian bagi membangunkan Sistem Kawalan Sempadan Negara (National Border Control System – NBCS). Pembangunan Sistem NBCS yang dicadangkan ini akan dilengkapi dengan sistem pengawasan terkini dan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, autonomous power supply, proses pintar, kemudahan penyebaran dan pengawasan sepanjang masa untuk melindungi sempadan darat dan maritim Malaysia demi keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara. Pelaksanaan AI akan membolehkan pengesahan objek, mengurangkan penggera palsu dan menyokong dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kawalan sempadan.

13. Selain daripada penekanan kepada aspek keselamatan dan ketenteraman awam, KDN juga fokus dalam menjaga kebajikan anggotanya. Untuk makluman YB Seputeh, sehingga 14 September 2023, sejumlah RM98,715,000.00 telah diluluskan oleh KDN untuk melaksanakan 342 projek penyelenggaraan kuarters PDRM di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Status pelaksanaan projek sehingga kini adalah 40 projek telah siap manakala 302 projek masih dalam pelaksanaan dan dijangka dapat disiapkan sebelum 31 Disember 2023.

14. Berhubung elaun perumahan yang turut dibangkitkan oleh

YB Seputeh, KDN menyambut baik berhubung perkara ini. Untuk makluman, pada 1 Januari 2020 Kerajaan telah bersetuju menaikkan Bayaran Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) PDRM bagi memastikan kesetaraan / pariti dengan perkhidmatan awam lain. Selain itu,, KDN pada masa ini juga turut sedang mengkaji permohonan yang melibatkan cadangan kenaikan kadar elaun PDRM bagi memberi kemudahan kepada anggota polis seperti berikut:

(i) Bayaran Insentif Penerbangan Operator Special Mission Equipment (SME), Pasukan Gerakan Udara (PGU), PDRM;

(ii) Bayaran Insentif Jurumekanik, Pasukan Gerakan Udara (PGU), PDRM;

(iii) Bayaran Insentif Juruterbang dan Bayaran Insentif Pemerhati Udara, PDRM;

(iv) Bayaran Insentif Jurutera, PDRM;

(v) Kajian Semula Elaun Pasukan Khas, PDRM;

(vi) Bayaran Insentif Pemeriksa Cap Jari, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), PDRM;

(vii) Bayaran Insentif Penyiasatan kepada Pegawai dan Anggota Bahagian (D10) Makmal Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), PDRM; dan

(viii) Kajian Kenaikan Gaji Polis Diraja Malaysia, PDRM.

15. Untuk makluman YB Kota Melaka, mana-mana permohonan yang terkandas di MyEG, majikan boleh datang ke kaunter JIM bagi menyelesaikan isu-isu yang berkaitan.

16. KDN sentiasa peka dengan keadaan kemudahan di pintu-pintu masuk negara seperti mana yang dibangkitkan oleh YB Tumpat,

YB Kalabakan, YB Padang Besar dan YB Gerik. Untuk makluman, pintu masuk di Pengkalan Kubor sedia ada adalah melalui jeti. Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melaksanakan kerja-kerja awalan bagi kajian jajaran jalan raya dan jambatan untuk menghubungkan Tumpat dan Tak Bai. Dalam hubungan ini, KDN sedang meneliti cadangan pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu atau penambahbaikan sedia ada. Selain itu, Kementerian Ekonomi telah meluluskan sebanyak 3 projek fizikal baharu pembinaan ICQS kepada KDN di bawah RP3 RMKe-12 bagi pembangunan kawasan Sempadan Sabah pada 8 Jun 2023 seperti berikut:

(i) pembinaan ICQS Sementara di Bantul, Pagalungan, Nabawan, Sabah (kos projek RM31 juta);

(ii) kerja awalan ICQS Bantul, Pagalungan, Nabawan, Sabah (kos projek RM5 juta); dan

(iii) kerja awalan ICQS Serudong, Kalabakan, Sabah (kos projek RM5 juta).

17. Bagi kerja-kerja naik taraf ICQS sedia ada, Kementerian Ekonomi pada 8 Jun 2023 telah meluluskan Projek Naik Taraf ICQS Wang Kelian sebanyak RM16 juta. Status semasa projek ini adalah di peringkat pra-pelaksanaan dan Jabatan Kerja Raya sedang melaksanakan kerja-kerja awalan untuk projek ini. Selain itu, sejumlah RM120,000.00 di bawah peruntukan pembangunan (DE) telah diluluskan untuk ICQS Pengkalan Hulu bagi Kerja-kerja Pembinaan Pos Sekatan Jalan Raya di Pintu Masuk Antarabangsa Malaysia-Thailand, Bukit Berapit, Pengkalan Hulu dan kerja-kerja berkaitan. Proses kerja dijangka bermula pada 25 September 2023 dan akan mengambil masa dalam tempoh 4 minggu untuk disiapkan.

18. Berhubung kenyataan YB Padang Besar untuk menjadikan Perlis sebagai pintu masuk ASEAN, KDN sedia bekerjasama untuk memastikan keperluan di pintu masuk dapat disesuaikan dengan grand plan di kawasan berkenaan.

19. Merujuk kepada keperihatinan yang disuarakan oleh YB Jerantut, KDN melalui Jabatan Penjara Malaysia mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak terhadap usaha-usaha Jabatan memperkasakan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke atas pesalah-pesalah juvana. Usaha-usaha ini bukan sahaja dapat membangunkan bakat masa hadapan pesalah juvana tersebut, bahkan membentuk keperibadian yang murni dan sikap bertanggungjawab ke arah kesempurnaan kehidupan bermasyarakat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di bawah Kluster TVET, penghuni/ banduan muda akan diberi kemahiran bersijil melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Tahap 2 dan Tahap 3. Pegawai Latihan Vokasional dan pegawai penjara yang ditempatkan di Seksyen Vokasional dan Industri akan memberi latihan kepada penghuni/banduan muda sehingga tamat kursus. Antara kemahiran dan bidang yang diikuti ialah jahitan, kimpalan, pertanian, automotif dan lain-lain.

20. Bagi isu terakhir iaitu penduduk yang masih belum mendapatkan kewarganegaraan seperti yang dibangkitkan oleh YB Mas Gading, KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR). Melalui program ini, JPN memberikan pelbagai perkhidmatan termasuklah khidmat nasihat berkaitan pendaftaran kad pengenalan, kelahiran dan kematian serta kewarganegaraan bagi memudahkan urusan rakyat untuk memiliki dokumen pengenalan diri mengikut kelayakan.

Tan Sri Yang Di Pertua,

Setakat ini sahajalah penjelasan-penjelasan yang dapat saya berikan mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan pertanyaan dan membangkitkan isu-isu berkaitan KDN. Saya memberi jaminan bahawa mana-mana pertanyaan yang tidak dapat dijawab pada kali ini saya akan catat untuk tindakan susulan.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Sumber: Facebook Kementerian Dalam Negeri