JAKARTA: Tourism Malaysia berharap kemudahsampaian dan kapasiti tempat duduk penerbangan yang menghubungkan Malaysia dan Jakarta dapat ditingkatkan, sekaligus merancakkan sektor pelancongan.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata kapasiti tempat duduk penerbangan kini naik kepada 86,000 tempat duduk setiap minggu tahun ini berbanding 85,000 sebelum pandemik.
“Kemudahsampaian ini sudah pastinya tidak dapat ditingkatkan tanpa sokongan aktiviti penerbangan daripada syarikat-syarikat seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Garuda, Batik Air, Citilink, Lion Air dan TransNusa,” katanya di program Misi Jualan ke Indonesia, di sini, pada Rabu.
Beliau yang tidak dapat hadir mewakilkan Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Junus Suhid untuk membacakan teks ucapannya.
Menurut Dr Ammar, Indonesia kekal sebagai salah sebuah pasaran penting untuk sektor pelancongan Malaysia dengan ketibaan 1.48 juta pelancong tahun lepas, yang kedua terbesar selepas Singapura.
Kedudukan ini terus konsisten dengan ketibaan 704,147 pelancong Indonesia yang direkodkan pada suku pertama tahun ini.
Selain mempromosikan Malaysia My Second Home (MM2H), Dr Ammar berkata Malaysia juga mempromosikan pelancongan perubatan kepada warga Indonesia.
Lebih 349,000 warga Indonesia telah mendapatkan khidmat rawatan dan kepakaran perubatan di Malaysia pada kos yang berpatutan pada 2022.
Tourism Malaysia menjelajah Jakarta, Medan dan Balikpapan pada misi kali ini bagi meningkatkan promosi produk dan pakej pelancongan serta mengadakan sesi perniagaan ke perniagaan (B2B).
Misi diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa-ASEAN Tourism Malaysia Muhammad Zaki Talib dengan kerjasama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
Ia disertai Sarawak Tourism Board, Malaysia Healthcare Travel Council, Sepang International Circuit, wakil syarikat MM2H, Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia, 15 syarikat pelancongan, tiga pengusaha produk, enam pengusaha hotel serta syarikat penerbangan Batik Air.
Program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia Adlan Mohd Shaffieq yang melancarkan Kempen MotoGP Sepang untuk mempromosi pakej pelancongan sukan pemotoran.
Adlan dalam ucapannya menyarankan agar pemain industri pelancongan dapat bersama-sama merapatkan hubungan antara rakyat dikedua-kedua negara.
“Peranan pemain industri pelancongan bukan hanya berbentuk komersil tetapi juga untuk mengukuhkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Sumber: Berita Awani