Tempatan

Tiga pemimpin NGO tersenarai dalam TSC FBI miliki rekod bersih mengikut semakan polis – Saifuddin

PUTRAJAYA: Tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam dari negara ini yang tersenarai dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan aktiviti keganasan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu berkata ia berdasarkan semakan dalam rekod keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 359 orang daripada 53 NGO yang menyertai Ops Ihsan.

Beliau berkata pemeriksaan identiti telah dilakukan terhadap kesemua individu berkenaan, sebelum mereka terlibat dengan operasi kemanusiaan itu.

“Berdasarkan pada semakan kita, kesemua NGO terlibat Ops Ihsan ini, rekod keselamatan polis (menunjukkan) tidak ada yang terlibat dengan isu-isu keganasan, mereka ‘clean’,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tiga pemimpin daripada NGO berkaitan Islam dari Malaysia yang aktif menguruskan bantuan ke Asia Barat, disenaraikan Terrorist Screening Center (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika.

Susulan laporan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai platform kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ditanya jika terdapat laporan polis daripada tiga pemimpin yang disenaraikan itu, Saifuddin berkata hanya satu laporan polis telah diterima daripada koordinator Ops Ihsan berhubung perkara itu untuk tindakan lanjut.

“Ops Ihsan ni ada koordinator… Jadi bila nama terdedah maka dia buat laporan polis, dan polis akan mulakan siasatan,” katanya. Sementara itu Saifuddin berkata kehadiran seorang lelaki warga Algeria Mawla Muhammad Amin al-Idrisi yang mendakwa sebagai cicit Nabi Muhammad SAW ke negara ini untuk memberi ceramah agama, akan terus dipantau rapi.

Beliau berkata jika lelaki warga Algeria itu dikesan melakukan aktiviti menyalahi undang-undang, maka pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk mengambil tindakan.

“Dari aspek pemantauan akan kita teruskan untuk melihat ada atau tidak elemen yang mungkin mengancam keselamatan negara misalnya. Kita juga akan tengok apakah bentuk-bentuk aktiviti bersifat penyebaran ideologi yang bercanggah dengan undang-undang kita,” katanya sambil menambah tiada sebarang laporan polis diterima berhubung perkara berkenaan setakat ini.

Sumber: Berita Awani