EkonomiGlobal

Thailand catat KDNK 1.5 peratus dalam suku pertama

Ekonomi Thailand berkembang sebanyak 1.5 peratus pada suku pertama 2024 didorong oleh sektor pelancongan dan penggunaan swasta. – Gambar fail/REUTERS

BANGKOK: Ekonomi Thailand berkembang sebanyak 1.5 peratus pada suku pertama 2024 didorong oleh sektor pelancongan dan penggunaan swasta, kata agensi perancangan ekonomi negara pada Isnin, lapor Xinhua.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh Januari-Mac perlahan daripada pertumbuhan 1.7 peratus pada suku sebelumnya disebabkan oleh penurunan dalam pelaburan awam, perbelanjaan kerajaan dan eksport barangan, menurut data yang dikeluarkan oleh Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC).

NESDC menjangkakan ekonomi negara Asia Tenggara ini akan berkembang dalam julat 2.0 hingga 3.0 peratus tahun ini, turun daripada unjuran sebelumnya sebanyak 2.2 hingga 3.2 peratus, disokong oleh perkembangan dalam perbelanjaan kerajaan dan pelaburan awam, di samping pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan dan pertumbuhan yang menggalakkan dalam penggunaan dan pelaburan swasta.