KUALA LUMPUR: Jenama kereta dari Amerika Syarikat, Tesla secara rasminya dilancarkan di Malaysia apabila sebuah model kenderaan elektrik (EV) diperkenalkan iaitu Model Y bagi pasaran Malaysia.
Model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu didatangi dengan tiga varian iaitu Model Y RWD (RM199,000), Model Y Long Range AWD (RM246,000) dan Model Y Performance AWD (RM288,000) sudah dibuka untuk tempahan sejak beberapa hari lalu melalui laman sesawangnya.
Menurut Pengarah Tesla Serantau, Isabel Fan, pihaknya menjangkakan penghantaran akan bermula seawal tahun depan.
“Model Y ini merupakan model SUV pertama direka dan dibina untuk pasaran luas termasuk Malaysia dan kami berusaha untuk menyokong usaha kerajaan bagi mengurangkan pembebasan gas CO2.
“Model ini merupakan kenderaan yang sangat responsif iaitu dengan daya pecutan 100km/h dalam masa 3.7 saat serta mampu mencapai jarak sehingga 533 kilometer bagi setiap pengecasan,” jelasnya sewaktu pelancaran Model Y di ibu negara pada Khamis.
Model Y ini juga mempunya ruang kargo yang luas iaitu 2,100 liter serta mampu memuatkan lima orang dalam satu masa.
Model Y juga didatangkan dengan berbumbung kaca, ciri keselamatan yang baik, autopilot dan sistem penapisan udara HEPA.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pemberian insentif pengecualian fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan sepenuhnya kepada Kategori Kenderaan Motor Elektrik (EV) bermula awal Januari 2022 hingga akhir 2025.
Pembeli juga layak menerima pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 dengan menggunakan EV.
Dalam pada itu, Tesla turut melancarkan stesen pengecasan pantas atau Supercharge Station pertama di Malaysia iaitu di Pusat Membeli Belah Pavillion KL di ibu negara.
Ujar Isabel, Tesla merancang untuk memperluaskan bilangan stesen pengecasan ini dan tidak hanya tertumpu di Lembah Klang, malah di Johor, Pulau Pinang, Perak serta Negeri Sembilan juga.
Ia selari dengan usaha kerajaan untuk menyediakan 10,000 stesen pengecasan menjelang 2025 di seluruh negara.