Kesihatan

Tan Sri Lee Lam Thye Desak Tindakan Segera Atasi Penggunaan Vape dalam Kalangan Pelajar

Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye hari ini menggesa kerajaan untuk segera menangani masalah penggunaan vape yang tidak terkawal di kalangan pelajar sekolah.

Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye hari ini menggesa kerajaan agar segera menangani isu penggunaan vape yang tidak terkawal dalam kalangan pelajar sekolah.

Lee berkata adalah penting bagi pihak sekolah di seluruh negara untuk mengambil inisiatif memerangi penggunaan vape melalui kempen kesedaran dan tindakan tegas.

Beliau juga menyatakan kebimbangannya terhadap laporan baru-baru ini mengenai pelajar yang menggunakan vape di tandas sekolah dan bilik darjah yang tidak digunakan.

“Dalam kejadian baru-baru ini, enam pelajar di sebuah sekolah menengah di Selangor didapati muntah selepas berkongsi menggunakan vape. Seorang lagi pelajar dilihat dalam keadaan khayal dengan mata merah dan tidak dapat berdiri atau berjalan dengan betul,” katanya.

Lee berkata vape telah terbukti boleh menyebabkan risiko kesihatan yang ketara, terutamanya kepada badan yang masih muda termasuk ketagihan nikotin, kerosakan paru-paru, pendedahan kepada bahan kimia berbahaya dan boleh membawa kepada penggunaan produk tembakau.

Beliau menggesa pihak berkuasa sekolah dan pelajar untuk menyokong usaha Kementerian Pendidikan dalam memerangi penggunaan vape, serta menekankan keberkesanan program pendidikan rakan sebaya, di mana pelajar yang telah berhenti menggunakan vape berkongsi pengalaman mereka.

Lee juga mencadangkan penggunaan selebriti dan pempengaruh media sosial untuk memperkuatkan mesej anti-vape. Beliau menambah bahawa adalah penting untuk melibatkan ibu bapa dan penjaga dalam sesi penerangan bagi membentuk sikap dan tingkah laku kanak-kanak terhadap vape.

“Ia memerlukan usaha kolektif daripada sekolah, ibu bapa, komuniti dan pelajar untuk memerangi vape dan memastikan masa depan yang lebih sihat untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, dilaporkan polis Terengganu sedang menunggu laporan perubatan mengenai seorang pelajar sekolah menengah di Kemaman yang didapati tidak sedarkan diri selepas menggunakan rokok elektronik bulan lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata laporan tersebut penting untuk menentukan tindakan selanjutnya berhubung isu tersebut.