TempatanEkonomi

Sumber luar dikenal pasti untuk tampung bekalan telur – Mat Sabu

Jelas Mohamad Sabu, inisiatif tersebut bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus. – Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengenalpasti beberapa sumber dari luar negara untuk menampung keperluan bekalan telur ayam dalam negara sebagai pelan jangka pendek.

Jelas Menterinya Mohamad Sabu, inisiatif tersebut bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus.

“Kementerian telah mengenalpasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan dalam negara dengan kadar segera bagi memastikan keterjaminan telur ayam di pasaran.

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kementerian akan memastikan telur ayam yang diterima adalah selamat daripada penyakit serta menepati piawaian yang ditetapkan.

Beliau turut telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian untuk melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada, serta meminta Agrobank untuk mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing.

“Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu bagaimanapun tidak mengumumkan harga telur baharu seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Sumber : Astro Awani