Global

Rusia beri amaran akan guna bom berangkai di Ukraine

Presiden Rusia Vladimir Putin tegaskan, Moscow akan bertindak balas dengan cara yang sepatutnya jika perlu. – Foto fail/REUTERS

MOSCOW: Rusia memberi amaran akan menggunakan ‘bom berangkai’ dan berhak menggunakannya sekiranya senjata bom itu digunakan Ukraine terhadap tenteranya.

Dalam hal ini, Presiden Rusia Vladimir Putin tegaskan, Moscow akan bertindak balas dengan cara yang sepatutnya jika perlu.

Pada Khamis, Ukraine mengesahkan telah menerima bom berangkai daripada Amerika Syarikat (AS).

Senjata itu diperlukan untuk mengimbangi kekurangan peluru yang dihadapi Kiev ketika mereka melancarkan serangan balas.

Bom berangkai diharamkan di lebih 100 negara kerana mengeluarkan sejumlah besar bom kecil yang boleh membunuh di kawasan yang luas.

Sebahagiannya gagal meletup dan boleh mendatangkan bahaya selama beberapa dekad terutamanya kepada kanak-kanak.

Kiev berkata, ia akan menggunakan bom berangkai untuk mengusir tentera musuh apabila cuba merampas kembali wilayahnya sendiri, tetapi tidak akan menggunakannya di wilayah Rusia.

Sementara itu, Putin berkata, beliau menganggap penggunaan bom berangkai sebagai satu jenayah dan setakat ini Rusia tidak perlu menggunakannya.

Pemerhati hak asasi manusia berkata, masing-masing Moscow dan Kiev telah menggunakan peluru berangkai.

Rusia, Ukraine dan AS belum menandatangani konvensyen mengenai bom berangkai yang melarang pengeluaran, penyimpanan, penggunaan dan pemindahannya.