Lee Bing Hang seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan menjadi tentera upahan di Ukraine dalam konflik dengan Rusia disahkan masih hidup dan berada dalam keadaan selamat. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyatakan bahawa siasatan awal mendapati Lee yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan di buku lali akibat serpihan dron Rusia dan telah pun menjalani rawatan.
Razarudin menjelaskan bahawa semasa serangan dron tersebut, Lee berjaya melarikan diri tetapi MyKad dan lesen memandunya tercicir manakala pasportnya masih bersamanya. Beliau turut mendedahkan bahawa tawaran gaji menarik sehingga AS$2,700 sebulan (RM11,807) dan minat terhadap bidang ketenteraan menjadi motivasi Lee untuk menyertai konflik itu.
Tekanan keluarga juga dipercayai mempengaruhi keputusan Lee untuk menjauhkan diri setelah dibesarkan oleh ibunya di Perlis selepas berpisah dengan bapanya. Lee menyertai tentera upahan di Ukraine sejak April 2024 melalui permohonan di laman web ketenteraan Ukraine dan dia merupakan individu pertama dari Malaysia yang menyertai. Sebelum itu, Lee mendapat pendidikan A-Level di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya dan menyambung pengajian ijazah di Subang Jaya sebelum berhenti awal tahun ini.
Pada bulan Mac lalu, Lee pergi ke United Kingdom untuk mencari pekerjaan sebelum menyertai perang di Ukraine dan tidak merancang untuk pulang ke Malaysia. Gambar MyKad dan lesen memandu Lee dilaporkan ditemui di medan perang setelah tentera Rusia menawan kawasan tertentu di Zaporizhia, Ukraine.