IPOH: Seramai 30 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menyertai Program Pemimpin Masa Depan JSJ PDRM 2024, yang berlangsung dari 16 Disember hingga hari ini di sekitar Banjaran Titiwangsa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata program pertama kali dianjurkan ini adalah hasil inisiatif Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dengan kerjasama Komando VAT 69, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dan IPK Pahang.
Latihan intensif ini melibatkan pelbagai lokasi seperti Blue Valley, Gunung Challi, Gunung Yong Belar, Gunung Gayong, Gunung Korbu, dan Hutan Simpan Bukit Kinta, dengan fokus kepada cabaran fizikal dan mental, terutamanya aspek survival dalam hutan.
“Program ini bertujuan menguji ketahanan anggota dan memupuk semangat kerjasama berpasukan. Ia adalah platform penting untuk memperkukuh keupayaan pasukan dalam menghadapi cabaran ekstrem,” kata Ayob Khan pada majlis penutupan di Empangan Sultan Azlan Shah hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar program seperti ini diperluaskan ke jabatan atau unit lain dalam PDRM untuk membangunkan semangat kerja berpasukan yang lebih mantap.
“Latihan seperti ini memerlukan kerjasama erat untuk mengatasi pelbagai halangan. Saya yakin semangat pasukan akan lebih kukuh selepas melalui pengalaman ini,” tambahnya.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily, berkata cuaca menjadi cabaran utama yang dihadapi peserta, dengan keadaan basah dan beban yang dibawa sepanjang masa menjadi ujian ketahanan fizikal dan mental.
“Latihan ini mengajar kami bertahan dalam keadaan sukar. Untuk latihan akan datang, kami merancang menambah elemen survival dengan memutuskan bekalan makanan selama 24 atau 48 jam, untuk benar-benar menguji daya tahan peserta,” katanya.
Program ini dijangka diteruskan pada masa hadapan untuk meningkatkan kerjasama dan ketahanan anggota dalam menghadapi cabaran tugas.