
SHAH ALAM: Polis masih menyiasat kemungkinan pembabitan pihak dalaman dalam kes seorang pembantu juruterbang yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih pada peringkat awal dan bukti mencukupi perlu dikumpulkan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Empat pegawai JSJN telah dihantar ke Jakarta bagi bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia. Mereka dijadual menemu bual pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu pada Rabu dan Khamis untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Setakat ini, kira-kira empat hingga lima saksi telah dipanggil. Polis turut mengesan individu yang dikaitkan dengan sindiket tersebut, termasuk pemilik nombor telefon yang dipercayai digunakan untuk menghubungi suspek, namun usaha itu terhalang kerana nombor berkenaan didaftarkan menggunakan identiti palsu.




