Tempatan

Polis pantau Julau, tiada kegiatan jenayah akan terlepas tindakan – Menteri Dalam Negeri

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media selepas lawatan kerja di Markas Briged Tengah PGA, Cheras

KUALA LUMPUR: Sebarang kegiatan jenayah termasuk gangsterisme didakwa berleluasa di Julau, Sarawak tidak akan terlepas daripada diambil tindakan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata demikian susulan gesaan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng supaya Bukit Aman bertindak keras terhadap kegiatan gengsterisme berleluasa yang menjadikan kawasannya sebagai ‘Wild Wild West’.

Saifuddin berkata, pihaknya ada membincangkan perkara itu secara langsung dengan Larry dan beberapa tindakan berterusan akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal sebarang kegiatan jenayah di daerah itu.

“Saya sendiri telah berkongsi kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain), malah Ketua Polis Daerah ada mengeluarkan kenyataan terdapat tangkapan berhubung perkara itu. “Biar proses (siasatan) itu selesai dibuat oleh pihak sana (polis).

“Bagaimanapun, dakwaan wujud anasir jenayah itu tidak akan terlepas daripada siasatan polis,” katanya pada sidang media selepas melawat kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras di sini hari ini.

Saifuddin berkata, beliau percaya pihak polis mengambil maklum dan akan segera mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara yang dibangkitkan oleh Larry.

BH semalam melaporkan Larry mendakwa kumpulan kongsi gelap itu bukan sahaja mengendalikan perjudian dalam talian di kedua-dua daerah Pakan dan Julau, malah turut terbabit aktiviti menjual dadah, kontraban seperti rokok dan minuman keras serta pinjaman wang haram.

Melalui catatan di Facebook miliknya, Larry turut mendakwa, syabu atau ‘Batu’ (merujuk methamphetamine) dijual secara terbuka di bandar Julau terletak di Sarikei itu untuk menunjukkan bahawa mereka kebal undang-undang.

Dakwanya, beliau juga dimaklumkan beberapa penjawat awam dan ketua rumah panjang (tuai rumah) telah berhutang dan terdesak untuk menjual tanah mereka serta meminjam wang bagi membayar balik samseng yang mengenakan kadar faedah terlalu tinggi.

“Ramai daripada mereka tidak mampu membayar balik dan sering diancam dengan kekerasan,” katanya.

Malah, beliau juga mendakwa terserempak beberapa samseng tempatan yang jelas ingin menimbulkan masalah ketika menziarahi masyarakat Cina di Julau yang menyambut Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

“Walaupun tidak cedera semasa kejadian itu, sejak itu saya sedar betapa cepatnya pekan luar bandar yang dahulunya aman damai kini menyamai ‘Wild Wild West’,” katanya.

Sumber: Berita Harian