Tempatan

PM bentang KSP RMK12, sasar pemerkasaan ekonomi negara dalam 10 tahun

Anwar berkata beliau optimis hasil usaha kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan dapat dilihat sebelum akhir tahun ini.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bertemakan ‘Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’. di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tiga tumpuan utama rancangan tersebut ialah – memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera, dan menuju negara berpendapatan tinggi – dengan 17 anjakan dan 71 inisiatif utama berdasarkan prinsip Ekonomi MADANI.

Jelasnya lagi, Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12, dengan tambahan siling RM15 bilion untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.

“RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun. Justeru, Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025.

“Anjakan baru bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam,” katanya sewaktu membentangkan KSP RMK-12 sewaktu Mesyuarat Khas, Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas (2023), pada Isnin.

Tambahnya lagi, beliau optimis hasil usaha kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan dapat dilihat sebelum akhir tahun ini.

Perdana Menteri berkata, KSP RMK12 akan menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, hutang yang membengkak, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.

Dalam pada itu beliau berkata, pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh Kerajaan untuk mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan yang betul.

“Walhasil dalam tempoh separuh pertama tahun 2023, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Malaysia telah mencatat peningkatan sebanyak 4.2 peratus, didukung oleh kegiatan sektor swasta dan perdagangan yang baik.

“Prestasi pasaran buruh juga semakin baik dengan kadar produktiviti yang lebih tinggi, iaitu 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2021-2022, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.5 peratus pada suku kedua tahun 2023,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, kadar inflasi pada Julai 2023 telah menurun kepada 2 peratus, rekod terendah dalam tempoh 24 bulan.

Selain itu beliau berkata, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita juga dicatat lebih tinggi, iaitu RM52,968 (AS$12,035) pada tahun 2022 ketimbang RM42,838 (AS$10,191) pada tahun 2020.

“Nikmat kemajuan ekonomi yang dikecapi ini turut dapat dirasai oleh rakyat seperti yang terpapar pada petunjuk pada peringkat global dan domestik. Malaysia berhasil mencatat pencapaian yang memberangsangkan dalam pembangunan manusia berdasarkan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) 2021 pada tangga ke-62 daripada 191 buah negara.

“Kita menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam masa 10 tahun. Sementara pada peringkat domestik, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat telah meningkat sebanyak 1.3 peratus setahun,” katanya lagi.

Selain itu Perdana Menteri berkata, pendapatan rakyat juga telah bertambah baik. Pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat kepada RM8,479 pada tahun 2022 daripada RM7,901 pada tahun 2019.

Atas sebab itu beliau berkata, berbeza dengan pendekatan model ekonomi sebelum ini, KSP RMK12 yang digarap berdasarkan Ekonomi MADANI, bertitik tolak daripada falsafah pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang manusiawi berteraskan nilai, kemasyarakatan, peradaban dan norma.