Tempatan

Perdana Menteri: Isu Laporan IMD Telah Diselsaikan

Anwar berkata antara isu yang dibangkitkan ialah berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi dan perkara itu telah ditangani kerajaan. Gambar: BERNAMA

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebahagian besar masalah yang terdapat dalam laporan Ranking Daya Saing Dunia 2024 oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) telah diselesaikan pada suku pertama tahun ini.

Beliau menyatakan antara isu yang dibangkitkan ialah berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi dan perkara itu telah ditangani kerajaan.

Walau bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan akan meneliti semua isu termasuk setiap kekuatan dan kelemahan dalam laporan itu secara terbuka serta memberi jaminan akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk memperbaikinya.

Selain penyasaran subsidi, turut dibangkitkan ialah isu ringgit, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata meskipun begitu, sememangnya terdapat penambahbaikan dalam semua perkara yang dibangkitkan oleh laporan tersebut.

“Kedua ialah kelemahan ringgit, tahun lalu diakui masalah ringgit yang mencabar tetapi suku pertama tahun ini sudahpun ada peningkatan.

“Syukur alhamdulillah kerana beberapa teguran itu (telah) diambil kira dan (susulan) semua itu, kerajaan akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk perbaikinya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Konsortium Impak Positif ESG (A-EPIC) pertama di Asia di sini, pada Jumaat.

Hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan penurunan kedudukan Malaysia ke tangga 34 dalam senarai Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 adalah disebabkan faktor kelemahan mata wang ringgit pada tahun lepas.

Beliau juga menyatakan bahawa berdasarkan kajian awal kementerian tersebut, isu utama yang mengakibatkan kejatuhan kedudukan negara daripada tangga ke-27 adalah disebabkan penggunaan data pada 2023 untuk mengukur daya saing negara.

Malaysia juga turun empat anak tangga ke kedudukan 10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu, menurut laporan sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland itu.

Sumber: BERNAMA