Global

Penumpang SIA meninggal dunia selepas pesawat alami gelora udara

SIA turut menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mangsa yang terkorban dan akan menyediakan bantuan untuk semua penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat berkenaan. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Seorang penumpang pesawat Singapore Airlines (SIA) dilaporkan meninggal dunia selepas pesawat SQ321 mengalami kejadian gelora udara ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Heathrow di London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada Selasa.

Menerusi kenyataan di Facebook, SIA memaklumkan pesawat dengan nombor pendaftaran SQ321 terpaksa mengubah laluan penerbangan dan melakukan pendaratan di Bangkok pada jam 3.45 petang waktu tempatan.

Selain itu, kenyataan sama menyebut beberapa penumpang turut mengalami kecederaan susulan kejadian itu.

‘’Kami mengesahkan beberapa penumpang mengalami kecederaan dan satu kematian dilaporkan dalam pesawat Boeing 777-300ER.

‘’Penerbangan tersebut membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal semasa kejadian,’’ kata kenyataan itu.

SIA menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mangsa yang terkorban dan akan menyediakan bantuan untuk semua penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat berkenaan, menurut SIA.

Pada masa sama, SIA berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk memberikan bantuan perubatan dan menghantar pasukan ke Bangkok untuk memberikan bantuan lanjut.

SIA juga akan terus membawakan perkembangan terkini menerusi laman Facebook dan X dari masa ke semasa.

Namun, jumlah kematian akan dikemas kini pihak SIA, dan jumlah yang dilaporkan oleh Astro AWANI masa ini, berdasarkan laporan media tempatan Thailand, Khao Sad.