Kesihatan

Penularan Demam Malaria Import di Terengganu: 24 Kes Direkodkan Tahun Ini

Datuk Dr Kasemani Embong memeriksa sampel nyamuk tiruk yang menyebarkan penyakit demam malaria di sebuah gerai pameran sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Malaria peringkat negeri di Masjid Hadhari hari ini.

Penularan demam malaria melalui kes import di Terengganu menimbulkan kebimbangan apabila 24 daripada 25 kes yang direkodkan sejak awal tahun ini adalah kes import.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata baki satu kes merupakan jangkitan malaria daripada haiwan (zoonotik).

“Walaupun kes import iaitu jangkitan yang dibawa oleh warga asing ini menunjukkan penurunan berbanding 30 kes pada tahun lepas ia tetap merisaukan.

“Sebanyak 24 kes malaria import yang disebarkan oleh nyamuk tiruk ini membabitkan warga Rohingya, Bangladesh, Pakistan, India dan Papua New Guinea,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Hadhari di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan ketara kes berlaku selepas pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 20 kes malaria di kalangan warga asing yang datang untuk bekerja di tapak pembinaan lebuh raya di Kampung Machang, Hulu Terengganu.

Dr Kasemani berkata ekoran peningkatan kes itu KKM telah membuat saringan di kampung berkenaan dan dua kampung sekitar iaitu di Kampung Kua dan Pengkalan Ajal.

“KKM telah melakukan langkah kawalan di kawasan terlibat antaranya meminta majikan menyediakan penempatan pekerja yang lebih baik untuk memudahkan kerja kawalan penyakit seperti melakukan semburan dinding selain pihak majikan perlu menyediakan kelambu berubat,” katanya.

Beliau berkata individu yang sering memasuki kawasan hutan berisiko perlu memakai pakaian yang menutup tubuh sepenuhnya, tidur di dalam kelambu berubat dan menggunakan semburan racun serangga nyamuk.

Dr Kasemani juga menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan awal jika mengalami gejala malaria seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah badan.