Kes leptospirosis atau kencing tikus di Melaka meningkat kepada 80 kes dari 1 Januari hingga 6 Julai tahun ini berbanding dengan 28 kes sepanjang tahun lepas.
Dr. Muhamad Akmal Saleh, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri yang juga menjalankan tugas-tugas Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan menyatakan peningkatan ini disebabkan oleh penularan wabak di tiga pusat rekreasi di Melaka. Walau bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan.
Beliau menjelaskan bahawa ketiga-tiga destinasi pelancongan tersebut terletak di daerah Jasin iaitu Kolam Air Panas Jasin, Taman Eko Rimba dan Taman Tiga Budaya. Destinasi pelancongan tersebut telah dibuka semula selepas proses pembersihan dilakukan.
“Leptospirosis merupakan salah satu penyakit zoonosis selain JE (Japanese Encephalitis) serta rabies dan penyakit kencing tikus antara kes yang agak tinggi dilaporkan di negara ini termasuk di Melaka.
“Berdasarkan data pada tahun ini, kes banyak berlaku di pusat rekreasi disebabkan penularan wabak berkenaan dalam kalangan pengunjung tetapi langkah awal seperti pembersihan di lokasi kejadian telah dilakukan dengan pemantauan Jabatan Kesihatan dan dapat dikawal dengan baik,” katanya kepada pemberita di Zoo Melaka di sini hari ini.
Beliau menyatakan ini selepas merasmikan penutupan sambutan Hari Zoonosis Sedunia Peringkat Negeri Melaka yang turut dihadiri oleh Pengarah Kesihatan Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.
Dr. Muhamad Akmal menjelaskan lebih lanjut bahawa kerajaan negeri akan mengadakan kursus jangka pendek berkaitan pengurusan penyakit zoonosis sebagai langkah awal untuk mengawal penularan wabak di premis yang terlibat.
Kursus tersebut akan disasarkan kepada mereka yang berisiko dan terlibat secara langsung dalam pengurusan haiwan, termasuk pekerja Zoo Melaka, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Bahagian Kesihatan Jabatan Veterinar.
Beliau juga menekankan keperluan untuk menyediakan lebih banyak tempat cuci tangan atau cecair pembasmi kuman, terutama di pusat rekreasi atau tempat umum yang mempunyai haiwan seperti Zoo Melaka supaya pengunjung dapat membersihkan tangan selepas bersentuhan dengan haiwan.
Sambutan Hari Zoonosis Sedunia diadakan setiap 6 Julai di seluruh dunia ia turut disambut di Melaka sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang pencegahan penyakit zoonosis.