
SHAH ALAM: Pengurusan sebuah taman tema terkenal di sini yang terbabit dalam insiden pelampung gelongsor air kaca terjatuh pada 29 Januari lalu akan dipanggil selepas laporan penuh dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pertemuan itu mungkin turut melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas maklumat lengkap diperoleh.
“Saya sudah membaca laporan bertulis, tetapi kita menunggu laporan penuh dan akan meminta mereka segera mematuhi ketetapan pihak berkuasa seperti MBSA,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Besar Selangor bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan seorang pengunjung mengalami kecederaan selepas terkena pelampung permainan gelongsor air kaca yang dipercayai terjatuh di sebuah taman tema di Seksyen 7 pada 29 Januari lalu.
Dalam majlis hari ini, Amirudin menyeru semua ketua kampung untuk meningkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi maklumat, terutama dalam pengurusan data.
Beliau menekankan bahawa langkah ini dapat mengoptimumkan penyeliaan kebajikan masyarakat, selain membantu mempercepat penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan seperti Khairat Darul Ehsan dan Iltizam Selangor Penyayang.
