PRN ini merupakan pengalaman saya yang pertama dalam memilih siapa wakil rakyat setempat. Selepas umur saya baru menjangkau ke angka 18 tahun, secara automatiknya saya terlepas untuk mengambil tempat dalam sistem demokrasi pada PRU 15 baru-baru ini.
Meskipun saya menetap di Lembah Klang atas urusan pengajian Tingkatan 6, saya sekarang sudah pun bergelar sebagai pemilih yang sah di kampong saya, Rantau Negeri Sembilan memandangkan keluarga besar saya masih menetap di sana.
Untuk Piliharanraya Negeri yang akan datang, saya membuat satu keputusan untuk bercuti dan pulang ke kampong halaman. Sebagai seorang pengundi kali pertama dan tidak pernah terdedah mahupun arif dalam isu-isu politik setempat mahupun dasar kerajaan, saya berminat untuk mengambil tahu lebih lanjut dan mencedok pengalaman tentang pilihan orang ramai berkaitan pemimpin ataupun calon yang akan dipilih bagi menggubal polisi yang akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri.
Pengetahuan dan semangat tentang politik pada diri saya bermula hanya sehari awal sebelum hari penamaan calon ketika mana saya bersiar-siar sekitar kawasan Rantau. Duduk di kampung, terutamanya di kampung saya ni, hari Jumaat merupakan hari yang paling sibuk. Awal-awal pagi lagi, saya biasanya akan membeli barangan dapur di Pasar Pekan Rantau, satu-satunya tempat orang-orang kampung di sini untuk mendapatkan barangan basah yang segar-bugar. Ini kali pertama saya ke pasar baru ni setelah berpindah dan berwajah baharu.
Sampai sahaja di pasar, saya ke bahagian sayur terlebih dan sambil memilih sayur tu, saya sempat berborak dengan peniaga sayur tersebut yang merupakan seorang warga emas berbangsa Tionghua. Saya berkata sendirian, pasar ini lebih selesa dan cantik berbanding dulu, ditambah dengan fasiliti yang moden dengan kemudahan yang lengkap.
Peniaga itu mungkin terdengar percakapan saya itu dan sambil beliau memasukkan sayur yang dipilih, beliau berkata
“Pasar ini, Tok Mat (Ahli Parlimen Rembau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan) yang bikin, aunty sudah berniaga dari pasar lama lagi”.
Rupa-rupanya peniaga ini merupakan peniaga asal sebelum pasar baru ini dibina dan ini merupakan salah satu legasi yang ditinggalkan oleh Tok Mat semasa beliau menjadi wakil rakyat.
Lepas tu, saya bertanya, untuk PRN nanti, siapa calon yang patut saya pilih? Saya bertanya lah siapa Tok Mat ni, apa yang beliau dah buat sepanjang beliau jadi wakil rakyat.
Peniaga tu menceritakan jasa-jasa Tok Mat dan dalam pada itu, sedang khusyuk mendengar, peniaga sebelah yang berbangsa India mencelah perbualan kami.
Saya tambi bukan orang senang, suami OKU. Anak pula masih belajar jurusan perubatan.
“Tapi saya bersyukur kerana Tok Mat menjadi wakil rakyat di sini. Beliau banyak membantu keluarga kami. Ini saya berniaga pasar pun, dia yang bantu uruskan lesen berniaga. Anak-anak saya belajar pun untung, banyak bantuan yang kami terima dari beliau, lebih-lebih lagi ketika beliau menjadi Menteri Besar. Saya tak tahulah, kalau tiada Tok Mat, apa lah nasib keluarga saya.”
Siapa yang berkata buruk tentang Tok Mat, dia bukan orang Rantau…” Katanya sambil bergenang air mata berkongsi perihal mengenangkan anaknya yang bakal menamatkan pelajaran dalam bidang perubatan tidak lama lagi.
Saya cuma diam dan dengar. Ini kali pertama saya melibatkan diri dalam proses demokrasi memilih wakil rakyat. Walaupun Rantau hanyalah kampung saya, namun saya ingin melihat Rantau terus dipimpin oleh figura yang boleh bekerja dan membawa kebaikan kepada rakyat setempat. Saya dapat merasai keikhlasan Tok Mat menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat selepas mendengar cerita dari peniaga-peniaga itu.
Selepas membeli sayur, saya bergegas untuk pulang.
Saya lalu bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat dan saya memilih untuk bersolat di Masjid Sri Sendayan, sebuah masjid baharu yang begitu tersergam indah dari pandangan mata. Selepas habis solat, saya mencari maklumat berkenaan masjid ini.
Rupa-rupanya Masjid Sri Sendayan yang menelan kos lebih RM 100 juta ini dibina tanpa menggunakan satu sen dana atau wang kerajaan Negeri. Tetapi, hasil usaha dan kebijaksanaan Tok Mat, beliau berjaya untuk mendapatkan sumbangan peribadi dari Tan Sri Rashid Hussin untuk tujuan wakaf kepada masyarakat setempat.
“Hebat betul Tok Mat”, kata saya di dalam hati. Bagi saya, beliau bukanlah sekadar ahli politik yang biasa, beliau merupakan seorang ahli politik yang berwawasan tinggi di dalam memajukan kawasannya dan juga seorang pengabdi rakyat yang sejati.
Saya lalu bertanya kepada salah seorang kariah masjid yang berdiri tidak jauh dari saya berkenaan info lanjut mengenai masjid ini dan saya cuba selitkan apa lagi jasa Tok Mat kepada penduduk sekitar.
Saya diberitahu oleh Pak Man (bukan nama sebenar) tentang PPR Taman Baiduri yang juga merupakan satu usaha Tok Mat. Beliau berkata penduduk di situ hanya perlu membayar RM 35 ribu sahaja untuk sebuah rumah setelah Tok Mat berjaya mendapatkan subsidi untuk mereka yang berjumlah RM 100 ribu bagi setiap unit. Kekaguman saya terhadap beliau bertambah selepas mendengar cerita itu tadi lalu saya meminta izin untuk mengundur diri.
Saya yakin, penduduk di Rantau ini amat beruntung kerana mendapat seorang pemimpin yang berhati murni serta berjiwa rakyat, yang tidak henti-henti berusaha untuk meringankan beban rakyat,
Dalam perjalanan pulang, saya membuat satu kesimpulan bahawa memilih pemimpin itu bukannya semata-mata atas dasar kepartian, tapi kerana keperibadian pemimpin itu sendiri.
Jika Malaysia mahu ke arah yang lebih baik, maka orang muda terutamanya haruslah memilih seorang pemimpin yang hebat dan berfikiran jauh yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.
-Amin Malik-