MILAN terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Serie A Napoli selepas mereka dibelasah 4-0 oleh Lazio yang bermaharajalela di Stadio Olimpico awal pagi tadi.
Skuad kendalian Stefano Pioli meratapi kekalahan pertama dalam tujuh perlawanan liga selepas jaringan Sergej Milinkovic-Savic dan Mattia Zaccagni memberikan tuan rumah kelebihan separuh masa.
Luis Alberto menambah gol ketiga dari sepakan penalti selepas rehat sebelum Felipe Anderson melengkapkan jaringan apabila Rossoneri gagal menang dalam perlawanan kelima berturut-turut dalam semua pertandingan.
Keputusan memberangsangkan itu menyaksikan Lazio kendalian Maurizio Sarri melonjak dari tangga keenam ke tempat ketiga dan dibezakan satu mata dengan Milan, yang kekal 12 mata di belakang Napoli.
Sumber: Astro Arena