KUALA LUMPUR: Kestabilan dalam UMNO hanya dapat dicapai dengan memberi mandat kepada ahli parti untuk menentukan pucuk pimpinan yang baharu.
Kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Bastien Onn, proses demokrasi sahaja yang dapat menyatukan dua pihak yang berbeza pendapat dalam parti itu ketika ini.
Perpecahan berlaku apabila Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang tidak diterima baik oleh semua ahli parti itu.
“Ada yang merasakan tindakan menubuhkan kerajaan perpaduan dengan PH merupakan satu tindakan untuk menyelamatkan parti, dan ada yang merasakan bahawa tak perlu untuk menubuhkan kerajaan kerana kita telah ditolak (oleh rakyat).
“Perkara ini harus dirungkaikan dengan apabila adanya pertandingan di peringkat tertinggi dan ia harus diserahkan kepada akar umbi untuk memilih apakah jalan ke hadapan untuk UMNO,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Beliau yakin demokrasi adalah jalan penyelesaian terbaik untuk memulihkan UMNO kembali ke perjuangan sebenarnya di samping meraih kembali kepercayaan rakyat khususnya orang Melayu dan anak muda.
Sumber : Astro Awani