Politik

PART 2: JANJI MANIFESTO PAKATAN HARAPAN

10 Keutamaan Tawaran Harapan

MEMANTAPKAN PEMBANGUNAN WANITA DAN INSTITUSI KELUARGA

1. Keterangkuman Gender

  • Untuk mengatasi amalan ketaksamaan gender yang membawa masalah kepada wanita pada hari ini, setiap Rang Undang-Undang yang dibentangkan di Parlimen akan dipastikan memiliki aspek keterangkuman gender yang lebih membina

2. Sistem Pengumpulan Data

  • Mewujudkan sistem pengumpulan data merentas Kementerian dan Agensi untuk memastikan integrasi data berlaku melibatkan maklumat mengenai wanita dan kanak-kanak.

3. Subsidi Penjagaan Kanak-kanak

  • Dalam masa-masa sukar seperti hari ini, ramai wanita berkorban dengan bekerja untuk menyara keluarga tetapi dalam masa yang sama terbeban dengan isu penjagaan anak kecil.
  • Untuk itu, subsidi penjagaan kanakkanak akan diberikan kepada wanita bekerja dari golongan B40 dan juga M40.

4. Jaminan Kerakyatan

  • Meminda Perkara 14(1)(b) dalam Perlembagaan Persekutuan agar ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka seperti kaum bapa.
  • Ini akan memberi kemudahan kepada kaum wanita untuk menguruskan diri dan keluarga menurut keperluan di masa depan.

5. Mengatasi Kemiskinan Haid

  • Pemberian tuala wanita dan tampon secara percuma di sekolah rendah dan menengah di semua sekolah di Malaysia dan tuala wanita dan tampon percuma kepada wanita B40 di lokasi-lokasi strategik.

6. Memperkasa Institusi Kehakiman Syariah

  • Untuk memastikan hak wanita dan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan, Institusi Kehakiman Syariah akan diperkasa segi kesarjanaan dan pengurusan pentadbiran yang lebih efisien.

7. Menangani Punca Perkahwinan Kanak-kanak 2025

  • Meneruskan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Kanak-kanak 2025 seperti yang telah dilaksanakan pada Januari 2020 untuk memastikan hak wanita dan kanak-kanak sentiasa terbela.

HIDUP SELESA DI USIA EMAS

8. Skim Mesra Usia Emas

  • Penyediaan skim-skim yang mesra kepada warga di usia emas. Ianya merangkumi baucer Jom Shopping bernilai RM100, Khairat Kematian bernilai RM1,000 dan Jom Travel yang menyediakan pengangkutan bas percuma kepada warga emas mengunjungi pusat pelancongan tempatan.

9. Pengangkutan Awam Percuma

  • Perjalanan pengangkutan awam percuma bagi golongan warga emas berbanding diskaun 50% pada masa kini.

10. Akta Warga Emas Dan Dasar Penuaan Aktif

  • Menggubal Akta Warga Emas dan menekan kepentingan Dasar Penuaan Aktif (Active Aging Policy).

11. Elaun Penjagaan Warga Emas

  • Mengiktiraf tanggungjawab penjagaan warga emas setaraf dengan piawaian antarabangsa serta memperuntukkan elaun khas bagi golongan ‘caretaker’ dan insentif kewangan bagi keluarga M40 dan B40 yang menjaga ahli keluarga dari golongan warga emas.

12. Pusat Penjagaan

  • Mewajibkan penubuhan pusat aktiviti warga emas atau pusat harian warga emas dalam pelan rancangan tempatan dan pelan pembangunan Pihak Berkuasa Tempatan.

13. Insentif Dan Bantuan Khusus

  • Insentif pelepasan cukai serta bantuan kewangan bagi majikan yang melatih dan mengambil golongan warga emas untuk bekerja.

14. Kewarganegaraan Automatik

  • Kewarganegaraan Malaysia secara automatik bagi golongan warga emas (60 tahun) yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang berstatus warganegara Malaysia.

15. Agensi/Jabatan Warga Emas

  • Penubuhan Agensi/Jabatan Warga Emas yang akan memberikan lebih perhatian dalam menjaga kebajikan dan menangani permasalahan berkaitan warga emas.

16. Penstrukturan Semula PERKESO

  • Penstrukturan semula PERKESO untuk memasukkan Skim Perlindungan Warga Emas sebagai jaringan keselamatan untuk memastikan golongan ini mempunyai perlindungan walaupun selepas usia persaraan.

MEMBELA NASIB ORANG KURANG UPAYA (OKU)

17. Penubuhan Jabatan/Agensi OKU

  • Untuk memastikan kehidupan berkualiti dinikmati warga OKU di masa hadapan, permasalahan OKU pada ketika ini seperti isu infrastruktur dan kelemahan sistem pendidikan perlu diselesaikan segera.
  • HARAPAN akan menubuhkan sebuah agensi khas untuk menyelaras bantuan dan peruntukan dari pelbagai kementerian.
  • Agensi ini juga boleh berperanan sebagai pemudahcara untuk memastikan hal ehwal kebajikan, keperluan serta permasalahan seperti potensi masa depan dan kualiti kehidupan warga ini diangkat menjadi keutamaan.

18. Lantikan Pesuruhjaya OKU Dalam SUHAKAM

  • Bagi menghormati hak asasi manusia melibatkan golongan OKU, adalah wajar pelantikan pesuruhjaya OKU di dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) direalisasikan. Pelantikan ini dapat membantu dalam melindungi hak-hak OKU dan mencegah segala bentuk diskriminasi terhadap golongan ini.

19. Akses OKU

  • Meningkatkan penyediaan kemudahan dan pengangkutan awam yang mesra OKU dan memastikan projek pembangunan menepati rekabentuk sejagat (Universal Design). Masanya sudah tiba untuk memperakui keperluan OKU terhadap kemudahan dan pengangkutan awam tidak boleh diabaikan sewenangnya.

20. Peruntukan Pendidikan Khas OKU

  • Untuk memastikan agenda pendidikan OKU menjadi teras keutamaan dan memulihkan ekosistem kecekapan penyampaian sistem pendidikan OKU seperti latihan guru, pembinaan infrastruktur untuk kelengkapan kelas dan menambah bilangan kelas, sebuah Peruntukan Khas Pendidikan OKU akan diperuntukkan.

MEMERANGI RASUAH

21. Ketua Pesuruhjaya SPRM

  • Pencalonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwipartisan. Langkah ini bagi menjamin pelantikan calon yang neutral tanpa tujuan melindungi kepentingan pihak tertentu.

22. Pengisytiharan Aset

  • Pengisytiharan aset telah pun menjadi satu amalan pasca PRU14. HARAPAN berhasrat meneruskan amalan ini bagi semua menteri, Ahli Parlimen, Penjawat Awam Kanan, Pengerusi GLC serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat yang berumur 18 tahun ke atas.

23. Akta Kebebasan Maklumat

  • HARAPAN akan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan mengehadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kecuali terhadap perkara yang berpotensi menggugat keselamatan negara. Klasifikasi hendaklah tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Parlimen dan bukannya budi bicara menteri.

24. Perolehan Awam

  • Untuk permintaan sebutharga untuk bekalan; Kementerian Kewangan harus mempunyai senarai harga bekalan yang dikemas kini setiap 6 bulan. Bagi projek-projek, sistem RFP dan tender terbuka akan dilaksanakan. Rundingan langsung hanya dibenarkan untuk hal keselamatan negara tetapi tertakluk kepada Jawatan Pilihan Khas yang diketuai anggota blok pembangkang.

25. Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

  • Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi membolehkan pemberi maklumat mendedahkan penyelewengan secara terus ke media. Pindaan yang dilaksanakan dengan kadar segera akan membentuk sebuah mekanisma kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang boleh merugikan Negara boleh disekat di peringkat awal lagi.

26. Majlis Media

  • Menghidupkan semula usaha untuk menubuhkan Majlis Media dan meminda Akta Mesin Cetak. Majlis Media Malaysia berperanan sebagai hala tuju utama untuk mengawal selia industri media yang pantas berubah — terutamanya untuk menyelaraskan peraturan yang mencakupi media cetak, media penyiaran dan media dalam talian — dan pada masa yang sama turut menjamin kebebasan media seperti yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

27. Sistem ‘Ombudsman’

  • Mewujudkan sistem ‘ombudsman’ bagi menangani masalah salah laku dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam termasuk pihak berkuasa.

MENGUKUHKAN INTEGRITI INSTITUSI

28. Had Perkhidmatan 10 tahun

  • Kami akan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar, dan Ketua Menteri kepada maksimum 10 tahun untuk mengelakkan pemusatan kuasa berlebihan kepada jawatan-jawatan ini dan menjamin ketelusan pentadbiran negara.

29. Pemisahan Kuasa Pendakwa Raya – Peguam Negara

  • Memisahkan jawatan dan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara untuk mengukuhkan kebebasan pendakwa raya. Peguam Negara hanya bertindak sebagai penasihat undang-undang kerajaan, manakala Pendakwa Raya yang berasingan membuat keputusan mengenai perkara-perkara berkaitan pendakwaan.

30. Semakan Pencalonan Lantikan

  • Pencalonan bagi lantikan Pendakwa Raya, jawatan-jawatan utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Ketua Polis Negara perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang terdiri daripada ahli pelbagai parti.
  • Jaminan jawatan akan diberikan kepada individu-individu yang dilantik supaya tempoh perkhidmatan mereka tidak ditamat secara sewenang-wenangnya oleh Perdana Menteri.

31. Akta Penggal Tetap Parlimen

  • Ketidaktentuan yang timbul akibat spekulasi berpanjangan berkaitan pembubaran mengejut Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tamat penggal lima tahunnya akan menjejaskan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi.
  • HARAPAN bakal mewujudkan Akta Penggal Tetap Parlimen bagi memastikan pembubaran Parlimen dan DUN hanya dilakukan apabila penggalnya tamat bagi mengurangkan ketidaktentuan politik ini.

MEMPERKASA SISTEM DEMOKRASI DAN KUASA RAKYAT

32. Tingkatkan Wibawa Parlimen

  • Mengembalikan kebebasan Parlimen Malaysia dengan mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan menambahbaik sistem Jawatankuasa Parlimen bagi memantapkan proses penggubalan dasar dan undang-undang.

33. Tambah Baik Kualiti Perdebatan Ahli Parlimen

  • Menubuhkan Pejabat Belanjawan Parlimen (PBO) yang menyediakan khidmat bebas secara objektif kepada semua ahli parlimen merentasi parti berkenaan anggaran implikasi kewangan, atau kos, dasar dan cadangan dasar mereka.
  • Pembaharuan ini akan menambahbaik proses penggubalan dasar dan “menyeragamkan persaingan” dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan anggaran kos dan analitikal lain yang biasanya hanya tersedia secara eksklusif kepada kerajaan jika tiada PBO.

34. Akta Pendanaan Politik

  • Memperkenalkan Akta Pendanaan Politik bagi membendung gejala politik wang dan penyelewengan dana seperti 1MDB dan skandal SRC.

35. Peruntukan Kawasan Sama Rata

  • HARAPAN bakal menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat parlimen tanpa mengira parti kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan itu.
  • Peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO).

36. Atasi Ketidakseimbangan Saiz Pengundian (Malapportionment)

  • Menyelesaikan ketidakseimbangan saiz pengundian yang melampau dengan melaksanakan had sisihan sebanyak 30% daripada purata saiz populasi mengundi kawasan pilihan raya.

37. Undi Tidak Hadir

  • Memperluas hak mengundi kepada pengundi luar kawasan terutama diaspora Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia serta mereka yang bekerja atau belajar di wilayah Sabah dan Sarawak, dan sebaliknya.

MENJAMIN KEBEBASAN MEDIA DAN HAK BERSUARA

38. Memansuhkan Akta Zalim

  • Menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalahguna untuk menyekat kebebasan bersuara antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

39. Majlis Media

  • Menghidupkan semula usaha untuk menubuhkan sebuah Majlis Media (Media Council), yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media sendiri, bagi melindungi kebebasan media dan kebajikan pengamal media.

40. Melindungi Pemberi Maklumat

  • Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi membolehkan pemberi maklumat mendedahkan penyelewengan secara terus ke media. Pindaan yang dilaksanakan dengan kadar segera akan membentuk sebuah mekanisma kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang boleh merugikan negara boleh disekat di peringkat awal lagi.

41. Akta Kebebasan Maklumat

  • Memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan mengehadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kecuali terhadap perkara yang boleh menggugat keselamatan negara. Klasifikasi hendaklah tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Parlimen dan bukannya budi bicara menteri.

REFORMASI KESIHATAN

42. Kesihatan Dan Kesejahteraan

  • Beralih daripada penjagaan pesakit atau “sick care” kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan (healthcare & wellness) termasuk menangani penentu sosial untuk kesihatan, seperti kemiskinan dan menyediakan pendidikan kesihatan dan akses kesihatan yang saksama kepada semua.

43. 5% Dalam Masa 5 Tahun

  • Meningkatkan Belanjawan Kesihatan Awam kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) dalam masa 5 tahun agar ianya selaras dengan perkembangan populasi negara, pertambahan jangka hayat rakyat dan keperluan semasa

44. Mengekang Peningkatan NCD

  • Memberi tumpuan khusus untuk menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases) dengan memberikan tumpuan kepada penjagaan primer, saringan kesihatan, pendidikan, kesejahteraan, kesihatan awam dan pengurangan tabiat yang membahayakan kesihatan termasuk merokok.

45. Suruhanjaya Kesihatan

  • Menubuhkan Suruhanjaya Kesihatan yang akan merangka dan memantau pelaksanaan “Pelan Reformasi Kesihatan Negara” bersama Unit Perancangan Ekonomi (EPU), MOF, Kementerian Kesihatan Malaysia dan MOE untuk menangani isu-isu sistemik termasuk pembiayaan penjagaan kesihatan (healthcare financing), desentralisasi kuasa, kerjasama awam dan swasta (PPP) dan lain-lain.

46. Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara

  • Bagi menangani isu doktor kontrak, HARAPAN akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan untuk mengukuhkan pengurusan sumber manusia, perjawatan, latihan dan perkembangan kerjaya para petugas kesihatan.

47. Reformasi Penyampaian Perkhidmatan

  • Reformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan negara meliputi pengurangan tempoh menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, pemodenan fasiliti kesihatan dan mewujudkan waktu operasi yang fleksibel di klinik kesihatan berpopulasi tinggi.

48. Menjamin Kebajikan Doktor Dan Petugas Kesihatan

  • Hospital kerajaan beroperasi mengikut syif berbanding mengikut waktu kerja biasa sepertimana amalan di beberapa negara untuk membolehkan perkhidmatan kepakaran diberikan kepada setiap lapisan masyarakat serta dapat mengoptimakan penggunaan fasiliti kesihatan dan perubatan kerajaan

49. Meluaskan mySalam

  • Meluaskan program perlindungan mySalam kepada golongan M40. Program merangkumi penyakit kritikal dan kemasukan ke hospital untuk turut merangkumi penilaian dan penjagaan kesihatan mental termasuk kaunseling.

50. Agenda Negara Menua

  • Memberi tumpuan khusus kepada agenda negara menua (ageing nation) sebagai kesiapsiagaan menjelang 2030 di mana lebih 15% dari populasi negara akan berusia 60 tahun dan ke atas. Pelaksanaan agenda ini akan bergerak selari dengan dasar Ekonomi Manusiawi dan Pelan SiagaJaga.

51. Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri

  • Menyegerakan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk tidak lagi menjadikan percubaan membunuh diri sebagai satu perbuatan jenayah. Mereka yang berdepan dengan gangguan emosi dan mental memerlukan sokongan masyarakat, bukannya hukuman.

52. Perlindungan Kesihatan Mental

  • Memberikan lebih perhatian untuk meningkatkan penjagaan kesihatan mental secara holistik termasuk meluaskan liputan skim insurans kepada merangkumi perlindungan dalam isu kesihatan mental.

MENINGKATKAN CAPAIAN INTERNET

53. Hapuskan Kemiskinan Internet

  • Veveonah Mosibin dari Pitas, Sabah terpaksa bermalam di atas pokok untuk mendapatkan akses internet yang lebih baik untuk peperiksaan sekolahnya. Marina Jita, ibu Orang Asli dari Bekok, Johor membawa anak-anaknya menaiki motosikal sejauh 15km melalui hutan ke tempat perlindungan sementara di tengah-tengah ladang kelapa sawit untuk mengakses internet untuk pembelajaran dalam talian semasa pandemik COVID-19.
  • Jurang digital bandar luar bandar adalah nyata. Malah, akses kepada perkhidmatan internet berkualiti di kebanyakan komuniti di bandarbandar Malaysia masih kekal tidak sekata.
  • Komitmen utama kini adalah untuk membawa capaian internet pantas ke seluruh Malaysia bagi menamatkan kemiskinan internet. Liputan sejagat dan kualiti perkhidmatan mesti diutamakan berbanding faktor lain.

54. Pertumbuhan Industri Pusat Data

  • Pusat data sudah pun menjadi industri bernilai AS$100 bilion di seluruh dunia. Lokasi Malaysia yang strategik di antara timur dan barat menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi pelabur antarabangsa yang ingin membangunkan pusat data.
  • Selain daripada mewujudkan peluang pekerjaan, mengembangkan Malaysia untuk menjadi hab serantau pusat data akan memulakan infrastruktur digital yang lebih baik yang membawa kepada perkhidmatan internet berkualiti tinggi kepada semua rakyat Malaysia.

MENINGKATKAN LIPUTAN PENGANGKUTAN AWAM

55. Akses Mudah, Pergerakan Mudah

  • Kita perlu memastikan pengangkutan awam bukan sahaja mudah diakses, tetapi juga lengkap dan berdaya maju di mana pengguna dapat bergerak mudah ke destinasi yang dituju.
  • Ini termasuk memastikan 80% dari kawasan bandar berada di dalam lingkungan 10 minit berjalan kaki dari hentian bas atau kereta api. Tempoh masa menunggu juga tidak seharusnya melebihi tempoh 10 minit untuk mana-mana perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas.
  • Untuk tujuan tersebut kita memerlukan 10,000 buah bas bagi seluruh kawasan bandar di Malaysia dengan 7,000 darinya beroperasi di Lembah Klang.

56. Had Tambang

  • Selain dari pas bulanan RM50, kita boleh memperkenalkan had tambang sehingga RM5 sehari bagi menggalakkan lebih ramai pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka bukan merupakan pengguna tetap harian.

57. Regulasi Dan Legalisasi Mobiliti Mikro

  • HARAPAN akan membantu dalam regularisasi dan legalisasi mobiliti mikro seperti e-scooter dan e-bicycle bagi memastikan tersedianya first and last mile connection yang tidak diliputi oleh mana-mana mod pengangkutan awam.

58. Baucer Pengangkutan

  • Kerajaan boleh bekerjasama dengan penyedia perkongsian perjalanan seperti Grab, untuk menawarkan baucer pengangkutan ke stesen transit. Baucar ini boleh ditawarkan pada harga RM5 setiap baucar dan sehingga 10 baucar setiap orang melalui e-dompet yang boleh digunakan untuk sebarang perjalanan bermula atau berakhir dari stesen LRT, MRT, monorel dan KTM, serta stesen bas utama di seluruh negara.

59. Meluaskan Mod Pembayaran

  • Meluaskan mod pembayaran kepada kad debit dan e-wallet dari mod sedia ada iaitu Touch ‘n Go

Sumber: ecentral.my