Tempatan

Parlimen ke-15: Mesyuarat Penggal Keempat Bermula Hari Ini

Inti pati titah diraja itu dijangka menyentuh pelbagai perkara penting termasuk soal pembangunan negara serta peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025

KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15 bermula hari ini, dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan menjadi tumpuan utama.

Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan titah diraja bagi merasmikan kedua-dua dewan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ucapan tersebut dijangka menyentuh pelbagai isu penting, termasuk pembangunan negara dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Dataran Parlimen untuk menerima sembah hormat diraja daripada pasukan kawalan kehormatan utama, Batalion Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi.

Istiadat ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan jemaah menteri, serta ketua perwakilan asing.

Menurut takwim rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari akan merangkumi pembentangan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja, yang dijadualkan berlangsung selama tujuh hari bermula 4 Februari. Sesi jawapan oleh menteri berkaitan pula akan berlangsung dari 19 hingga 25 Februari.

Pada enam hari terakhir persidangan, bermula 26 Februari, Dewan Rakyat akan membentangkan pelbagai rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain. Sementara itu, persidangan Dewan Negara akan berlangsung selama 13 hari, bermula 3 Mac.

Antara agenda utama Dewan Rakyat kali ini termasuk pembentangan bacaan kali kedua beberapa RUU seperti RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024, RUU Majlis Media Malaysia 2024, dan RUU Bernama (Pindaan) 2024.

Selain itu, kertas putih mengenai agenda negara menua turut akan dibentangkan, yang memberi tumpuan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang, selaras dengan peralihan Malaysia menjadi negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044.