Sukan

Minggu Harimau Malaya ‘buru’, peminat ‘lekat’ di depan televisyen

Pelbagai emosi bakal dirasai peminat tempatan, yang bakal menikmati sajian lima perlawanan dalam tempoh seminggu bermula esok. Menonton di depan televisyen terasa seperti di dalam stadium!

KUALA LUMPUR: Euforia, semangat dan kegembiraan, meupakn emosi yang rapat dengan peminat bola sepak, selain antonimnya kegelisahan, kekecewaan dan kesedihan.

Kesemua emosi tersebut menanti peminat tempatan, yang bakal menikmati sajian lima perlawanan dalam tempoh seminggu bermula esok, melibatkan kedua-dua pasukan senior dan muda kebangsaan yang mempunyai misi serta matlamat berlainan, di venue berbeza.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang melakar kemenangan berturut-turut dalam empat aksi antarabangsa Tier 1 terakhir, berdepan tugas mencabar untuk mempertahankan rekod baik itu di negara ‘Tembok Besar’, apabila dijadual bertemu Syria esok dan China, Sabtu ini.

Sementara skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara kendalian E. Elavarasan, memburu tempat beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, pada pusingan kelayakan kejohanan itu di Chonburi, Thailand dari 6 hingga 12 Sept ini.

Bagi skuad bimbingan Pan Gon, dua aksi persahabatan berdepan Syria dan China, penting dalam persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bermula November ini, sebelum bersaing di pentas Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan.

Selepas mencatat empat kemenangan dengan rekod 17 gol dijaringkan dan hanya satu bolos, kini tiba masanya keyakinan yang dibina anak buah Pan Gon, diuji lawan yang lebih unggul berdasarkan kedudukan ranking dunia, yang menyaksikan Syria di posisi ke-94 manakala China ke-80.

Berdepan Syria yang dibimbing pengendali dari Argentina Hector Cuper, keampuhan benteng pertahanan negara menjadi fokus, selepas kurang ‘bekerja’ dalam perlawanan-perlawanan terdahulu, sekali gus memberi peluang kepada Pan Gon untuk melihat tahap kekebalan pasukan.

Selain itu, selepas bermain empat perlawanan terdahulu di laman sendiri, aksi di China akan memberi pendedahan beraksi di tempat lawan, termasuk menguji kekuatan mental barisan pemain untuk mengharungi tekanan penyokong tuan rumah, terutama menjelang Piala Asia 2023.

Pan Gon turut mahu melihat pendekatan taktikal yang diterapkan selama ini, dijayakan dengan baik barisan pemain meskipun berdepan pasukan di ranking dunia lebih tinggi, dalam menentukan corak permainan yang bakal digunakan kelak di pusingan kelayakan Piala Dunia dan juga pentas Piala Asia 2023.

Di atas kertas, Syria lebih baik berbanding pasukan negara yang menghuni ranking dunia ke-136, namun prestasi skuad yang diberi julukan Qasioun Eagles itu, tidak begitu memberangsangkan susulan tewas dua dalam tiga aksi persahabatan tahun ini, selepas mengalami tujuh kekalahan pada 2022.

Kemenangan tunggal diraih Syria tahun ini ialah ketika menewaskan Thailand 3-1 pada Mac lepas, sebelum tewas 0-1 di tangan Bahrain pada bulan yang sama, diikuti kekalahan 0-1 kepada Vietnam, Jun lalu.

Berdasarkan tahap kedua-dua pasukan ketika ini, Malaysia yang membariskan skuad terbaik tidak mustahil mencipta kemenangan ke atas Syria, dan jika berjaya melakukannya ia bakal menjadi tonik terbaik untuk menghadapi cabaran China, yang memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Dalam pada itu, skuad Harimau Muda kendalian Elavarasan mempunyai tugas berat untuk layak ke pusingan akhir saingan Piala Asia B-23 2024, dalam menghidupkan peluang untuk mencabar tempat ke Paris 2024, selepas Malaysia gagal mencapai sasaran layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Diundi dalam Kumpulan H, anak buah Elavarasan akan membuka kempen kelayakan menentang Bangladesh esok, Filipina (Sabtu) dan pasukan tuan rumah pada aksi terakhir Selasa depan, dalam memburu kedudukan selaku juara kumpulan ataupun empat naib juara kumpulan terbaik, untuk mara ke pusingan akhir.

Dengan barisan pemain yang memiliki pengalaman beraksi di pentas senior seperti Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Muhammad Azam Azmi Murad dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, selain tambahan dua pemain berpangkalan di luar negara – Nooa Laine dan Luqman Hakim Shamsudin, Malaysia dijangka mampu melayakkan diri ke pusingan akhir.

Bagaimanapun, antara faktor yang boleh menggugat kemaraan pasukan negara ialah sekiranya mereka gagal menterjemahkan permainan berpasukan dengan baik, melakukan kesilapan mudah dan gagal menyempurnakan peluang terhidang, seperti berlaku dalam kejohanan-kejohanan sebelum ini.

Selepas muncul juara Piala Merlion pada Mac lepas, skuad B-23 kebangsaan gagal mencapai sasaran layak ke final, masing-masing pada Sukan SEA 2023 di Kemboja Mei lalu dan Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2023, bulan lepas.