Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus dari hasil cukai negeri sepatutnya disalurkan kepada negeri Johor. Beliau menegaskan bahawa permintaan tersebut bertujuan untuk memastikan pembangunan negeri Johor dapat diperkemaskan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan dalam satu kenyataan ringkas di Facebook pada Selasa. Permintaan ini telah disuarakan semasa sesi bertemu dengan beberapa pegawai kanan daripada Kementerian Kewangan.
Antara perkara lain yang dibincangkan termasuk cadangan untuk membina persimpangan bertingkat baharu di Link Kedua, projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sungai Sedili Besar serta program pemuliharaan Sungai Skudai di daerah Kulai dan Johor Bahru.
Pada Ahad yang lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail mencadangkan penubuhan Gabungan Bangsa Johor yang bertujuan agar keputusan politik dan kepentingan negeri diambil oleh penduduk Johor sendiri, bukan oleh pihak luar.
Baginda turut bertitah, Gabungan Bangsa Johor itu boleh memperbaiki sistem dalam negeri ini demi kepentingan kehidupan generasi akan datang supaya lebih terpelihara.
“Kita perlu lihat kepentingan sesuatu agenda itu apa yang memberi manfaat kepada negeri kita. Sampai bila Johor nak jadi pengemis.
“Biar Johor jaga kepentingan negeri kita sebab di Putrajaya, mereka tidak faham sentimen keperluan kita, saya nak tengok yang bangunkan negeri ini anak-anak Johor, bukan orang lain.
“Kalau kita ada Gabungan Bangsa Johor macam parti politik di Sarawak, jika Sarawak boleh buat, kita pun boleh buat. Itu saya harap akan berubah dari segi cara pemikiran dengan ada gabungan ini.
“Jika tidak ubah cara pemikiran kita, saya fikir sampai bila-bila Johor akan jadi pengemis, sampai bila-bila Johor kena minta permohonan, itu pun tengok juga kalau kita ini jadi keutamaan atau tidak,” titah baginda ketika sesi podcast secara langsung dalam “Program Johor Youth Meet-up” di Kompleks Sukan Educity, Johor Bahru.