Tempatan

Mayat lelaki ditemui dalam longkang di Alor Setar

Mayat seorang lelaki berusia 58 tahun yang mempunyai sejarah penyakit Parkinson dan masalah mental ditemukan oleh orang awam tertiarap dalam longkang di Taman Derga Jaya, Alor Setar, petang semalam. – Foto Astro AWANI

ALOR SETAR: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam longkang di Taman Derga Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima laporan orang awam yang ketika itu sedang berjalan bersama anjingnya dan menemui mayat di dalam longkang tersebut dalam keadaan tertiarap, pada jam 6.30 petang.

Katanya, ketika itu, anjing saksi menyalak dan membawanya ke tempat penutup besi di dalam longkang.

“Saksi membuka penutup besi dan terkejut menjumpai mayat lelaki tertiarap di dalam longkang dan terus menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Siti Nor Salawati berkata, polis menemui barangan peribadi termasuk kad pengenalan dan menghubungi ahli keluarganya yang terus ke lokasi kejadian dan membuat pengesahan mayat mangsa.

Katanya, hasil siasatan terhadap isteri mangsa mendapati, mangsa keluar rumah pada jam 3.30 petang semalam tanpa memaklumkan arah tujuannya.

Menurutnya, mangsa yang berusia 58 tahun itu mempunyai sejarah penyakit Parkinson dan mengalami masalah mental sejak 13 tahun lalu.

“Hasil siasatan ke atas tubuh mangsa dan lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk tindakan lanjut,” tambahnya.