RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri pelbagai acara berkaitan Sidang Kemuncak G20, termasuk pelancaran inisiatif Global Alliance against Hunger and Poverty yang bertujuan membasmi kemiskinan dan kebuluran global. Langkah ini seiring dengan komitmen kerajaan MADANI untuk memperkukuh taraf sosioekonomi rakyat Malaysia, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan tegar.
Anwar tiba di Museum of Modern Art, Rio De Janeiro, untuk menyertai sidang kemuncak tersebut bersama beberapa pemimpin negara G20. Kehadirannya sebagai wakil negara jemputan disambut oleh Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, selaku tuan rumah.
Sebagai Menteri Kewangan, Anwar turut menyampaikan pendirian Malaysia dalam dua sesi utama, iaitu “Keterangkuman Sosial dan Perjuangan Membasmi Kemiskinan dan Kebuluran” serta “Reformasi Institusi Tadbir Urus Global.” Kedua-dua sesi ini memberi peluang kepada Malaysia untuk mengutarakan pandangan terhadap isu-isu global seperti kesenjangan sosial, kemiskinan, dan keperluan pembaharuan sistem tadbir urus dunia.
Selain itu, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan, serta perbincangan sampingan dengan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.
Malaysia bersama 16 negara lain, termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu, dan Vietnam, hadir sebagai negara jemputan dalam G20 kali ini. Kali terakhir Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak G20 adalah pada tahun 2015 di Turkiye, ketika memegang jawatan Pengerusi ASEAN.
G20, kumpulan ekonomi utama dunia, terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan, iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), dan Kesatuan Afrika (AU).