
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan kenderaan elektrifikasi atau xEV merangkumi 20 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu di Malaysia menjelang tahun 2030.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sasaran itu akan ditingkatkan kepada 50 peratus pada 2040 dan 80 peratus menjelang 2050, selaras dengan usaha negara menuju pelepasan karbon sifar bersih.
MITI memaklumkan, kerajaan kini memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik tempatan, termasuk memperkukuh infrastruktur pengecas EV di seluruh negara.
Sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 6,416 pengecas awam telah dipasang, merangkumi 2,143 pengecas pantas DC dan 4,273 pengecas AC.
Selain itu, kerajaan turut mempercepat proses kelulusan petak pengecas EV melalui garis panduan PLANMalaysia, selain menggalakkan kerjasama antara syarikat tempatan, pengeluar automotif dan penyedia teknologi global.
Langkah itu dijangka membantu memperkukuh rantaian nilai tempatan, meningkatkan pemindahan teknologi serta menyokong pengeluaran komponen EV bernilai tinggi seperti bateri, motor elektrik dan sistem bantuan pemanduan termaju.




