Menurut kenyataan dari Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Rabu, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah sepakat bahawa gencatan senjata adalah penting bagi memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan dengan berkesan.
Persetujuan ini berlaku semasa pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di luar Persidangan Peringat Tinggi: “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza” di Jordan.
Blinken juga menyatakan sokongan AS terhadap Kepusatan ASEAN dan menghargai Malaysia atas sokongan terhadap resolusi yang dicadangkan AS yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Jun 2024.
Mohamad berada di Jordan mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan peringkat tinggi itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen King Hussein bin Talal, Laut Mati, Jordan, pada 11 Jun.
Persidangan Peringkat Tinggi ini telah dianjurkan oleh Jordan, Mesir dan (PBB) untuk menggembleng sokongan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sebanyak 75 perwakilan terdiri daripada Ketua-Ketua Negara/ Kerajaan dan Menteri, Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa dan pihak berkepentingan telah menyertai persidangan itu.
Semasa persidangan itu, Mohamad mengalu-alukan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024) yang antara lain menyeru untuk gencatan senjata segera, kekal dan berkesan, menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula Gaza.
Beliau juga menekankan pentingnya semua pihak menyokong usaha mencapai penyelesaian damai dengan menangani punca utama konflik, iaitu pendudukan haram dan kezaliman Israel.
Ini termasuk menuntut akauntabiliti melalui pendekatan “reparative” terhadap Israel dan memperkasakan usaha penyampaian bantuan kemanusiaan PBB.
Sumber: BERNAMA