Sukan

M. Thinaah Teruja Kembali Bersama Bekas Jurulatih Rosman Razak

Thinaah optimis sentuhan Rosman mampu membantunya dan Pearly (gambar) untuk meningkatkan lagi prestasi pada kejohanan mendatang. 

Pemain beregu wanita negara, M. Thinaah sangat teruja untuk kembali bekerja dengan bekas jurulatihnya Rosman Razak yang akan memulakan tugas sebagai ketua jurulatih beregu wanita mulai bulan depan.

Thinaah menyatakan bahawa jurulatih berusia 48 tahun itu merupakan individu yang penting dalam mengubah kariernya daripada seorang pemain perseorangan hingga menjadi salah satu beregu terbaik di dunia.

“Apa yang buat saya teruja tentang Rosman kerana saya pemain beregu. Dulu dia yang terima saya selepas saya tidak mahu teruskan jadi pemain perseorangan.

“Sudah pasti kembali bekerjasama semula dengan beliau sesuatu yang menggembirakan saya,” katanya dalam audio yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pada hari Selasa lepas, BAM mengumumkan pelantikan Rosman sebagai ketua jurulatih beregu wanita dan bekas pemain kebangsaan itu akan memulakan tugasnya pada 5 November ini.

Dengan hampir dua dekad pengalaman, Rosman akan bekerja secara rapat dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky, jurulatih skuad senior Ching Kai Feng dan jurulatih remaja Amelia Anscelly untuk mengukuhkan dan memajukan sektor beregu wanita.

Dalam hal ini, Thinaah yakin bahawa sentuhan Rosman akan dapat membantu dia dan pasangannya Pearly Tan untuk meningkatkan prestasi mereka pada kejohanan akan datang.

“Jurulatih Rosman seorang yang lebih tenang. Ini yang diperlukan dalam permainan terutama ketika saat genting. Perkara kecil seperti ini boleh memberikan kesan besar kepada kami,” katanya.