Global

LAWATAN PENANDA ARAS PEMERIKSAAN IMIGRESEN DI ST. PANCRAS INTERNATIONAL STATION, LONDON

YBhg. Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Malaysia, berserta delegasi telah melakukan lawatan penanda aras di St. Pancras International Station, London. Lawatan ini adalah susulan daripada kerjasama dan kunjungan hormat ke pejabat Home Office International Operation, United Kingdom, yang berlaku beberapa hari sebelumnya.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memahami isu dan cabaran berkaitan dengan imigresen di pintu masuk dan pintu keluar, sebagai persediaan awal bagi pelaksanaan Rapid Train System (RTS) antara Johor dan Singapura pada tahun 2027. Semasa sesi lawatan ini, pelbagai aspek termasuk pengoperasian, perundangan, tenaga kerja, dan kawalan sempadan telah dipelajari dengan teliti.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh Puan Alexis Wotherspoon dan Puan Helen West, International Liaison Officer dari British High Commission, serta pegawai-pegawai dari UK Border Forces. Delegasi dari Kementerian Dalam Negeri Malaysia juga turut disertai oleh Datu Ken anak Laben, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dr. Hebat Hisham bin Mohd Yusoff, Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, En. Mohd Russaini bin Idrus, Pengarah Bahagian Pasport dan Keselamatan JIM, En. Mohd Jasmi bin Mohd Juwahir, Pengarah Bahagian Penguatkuasa JIM, serta pegawai-pegawai dari KDN dan JIM.

Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi Malaysia untuk mendapatkan pandangan yang lebih mendalam mengenai operasi imigresen di St. Pancras International Station, London, dan bertukar maklumat serta pengalaman dengan pihak berkuasa tempatan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang imigresen antara Malaysia dan United Kingdom.

Sumber: Facebook Kementerian Dalam Negeri