Global

LAWATAN KERJA YB MENTERI DALAM NEGERI KE VIENNA, AUSTRIA SEMPENA MENGHADIRI MESYUARAT HIGH LEVEL SEGMENT BAGI 67th COMMISSION ON NARCOTIC DRUGS (CND)

Vienna, Austria, 14 Mac 2024 – YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri telah mengadakan lawatan kerja ke Vienna, Austria bagi menghadiri Mesyuarat High Level Segment bagi 67th Commission on Narcotic Drugs (CND) pada 14 dan 15 Mac 2024.

Mesyuarat High Level Segment diadakan setiap lima (5) tahun sekali yang dihadiri oleh delegasi bertaraf Menteri. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan hala tuju serta dasar-dasar berkaitan permasalahan dadah di peringkat antarabangsa.

Mesyuarat High Level Segment pada kali ini diadakan untuk membincangkan kajian separuh penggal pelaksanaan komitmen negara-negara terhadap Konvensyen Dadah Antarabangsa yang selaras dengan Deklarasi Menteri pada tahun 2019.

YB Menteri Dalam Negeri telah menyampaikan Kenyataan Negara yang menggariskan tindakan yang telah diambil Negara dalam pelaksanaan Deklarasi Menteri 2019 termasuk pencapaian dan cabaran yang dihadapi.

Mesyuarat turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN dan YDH CP Dato’ Sri Kamaruddin Md Din, Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), PDRM dan TYT Ikram bin Mohammad Ibrahim, Duta Besar Malaysia ke Republik Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa di Vienna.

#KeselamatanTanggungjawabBersama

#MalaysiaMadani