KUALA LUMPUR: Lagi kes buli melibatkan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Terbaru, seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima satu laporan pada kira-kira pukul 8.40 malam pada 8 November lalu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga.
“Akibatnya mangsa mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.