Cerita-cerita kedai kopi dan perbualan yang sedang dimainkan banyak berkisar tentang UMNO/BN diambang sakaratul maut.
Sebuah parti yang gah dan digeruni kini hilang taringnya. Salah pada siapa dan di mana? Adakah salah Presiden, Ketua-ketua sayap ataupun semua? 108 kerusi bertanding namun hanya mampu menang 19 kerusi. Banyak juga “warlord” yang tumpas.
Jika dilihat, rata-rata orang mempersalahkan Presiden dan juga penggabungan dengan DAP. Penerimaan akar umbi dan rakyat kepada penggabungan dengan DAP masih rendah. Jika dilihat dan diamati, pengundi putih antara tidak keluar mengundi ataupun beralih ke Perikatan Nasional.
Saya lagi gemar untuk mengulas tentang undi tentera. Kebiasaannya, undi tentera ini akan pergi kepada parti kerajaan memerintah, namun angin bertiup tidak seperti yang dijangkakan apabila kesemua undi tentera beralih kepada PN. Maka figura yang dipersalahkan disini pula ialah Mat Hasan (Menteri Pertahanan), kononnya tidak buat kerja walaupun kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM200 juta kepada Kementerian Pertahanan 2 bulan yang lalu.
Namun bagi saya, semua orang perlu lebih berfikiran waras. 2 bulan tidak dapat menyelesaikan masalah yang sudah bertahun. Rumah, air, bilik bujang dan kem yang menjadi permasalahan utama memerlukan satu tempoh yang panjang untuk dipulihkan bukan dalam masa 2 bulan. Jika kesalahan ini diletakkan di atas bahu Mat Hasan maka sepatutnya pemimpin utama kerajaan yang menjadi punca utama.
Jika Mat Hasan disalahkan tentang undi tentera, maka Zahid Hamidi yang memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut disalahkan apabila undi di Felda sudah beralih kepada Perikatan Nasional sekaligus penolakan besaran orang Felda walaupun Felda merupakan satu ‘safe deposit’ UMNO/BN suatu masa dahulu. Zahid Hamidi yang merupakan kepala dan pengemudi parti juga harus ditendang jika bercakap soal tanggungjawab apabila ahli UMNO mula beralih arah dan protes.
Undi UMNO merosot kepada 17% yang meletakkan UMNO di tangga tercorot dan ini semestinya penolakan besa-besaran rakyat kepada parti ini sekaligus menjawab kepada kenapa undi penjawat awam tidak lagi berpihak kepada parti pemerintah.
Sebenarnya, suhu politik yang toksik ini harus ditangani dengan MADANI harus menunjukkan sebuah ‘good governance’ dan menjustifikasi bahawa orang Melayu dan Islam tidak akan terancam dalam penggal pemerintahan PMX ini. Dalam tempoh pemerintahan PMX ini, pendekatan kemesraan dan perpaduan harus diperkuatkan lagi.
Menteri Kabinet yang ada tidak perlu lagi bermain dengan politik, masa untuk bekerja dan reformasi pentadbiran harus benar-benar belaku bagi membuka mata dan hati pengundi yang ada.
Jadi bagi saya dalam era baharu ini, kita langsung tidak boleh salahkan Menteri UMNO yang memegang portfolio cikgu, ketenteraan, polis dan sebagainya hanya kerana undi mereka ini tidak memihak kepada kita. Undi penjawat awam sudah lama beralih arah dan tidak mengikut tradisi seperti dahulu yang menyokong parti memerintah.
Dr. Ahmad Ghazali Syafiq