Tempatan

KDN Kerah PDRM dan Aset untuk Bantuan Banjir

RELA juga ditugaskan membantu PDRM dalam rondaan komuniti di kawasan yang terlibat banjir

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengerahkan 1,672 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama 230 aset termasuk kenderaan dan peralatan kecemasan bagi membantu operasi banjir di seluruh negara.

Antara aset yang dikerahkan ialah 152 kenderaan pacuan empat roda, 68 bot, 51 lori, 15 kereta peronda, 13 van, dan sebuah helikopter. Selain itu, seramai 818 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga ditugaskan untuk membantu mangsa banjir di 706 pusat pemindahan sementara (PPS). RELA turut membantu PDRM dalam rondaan komuniti di kawasan yang terjejas.

Menurut kenyataan KDN, tugasan utama PDRM dan RELA meliputi operasi pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik, rondaan kawasan berisiko, tugas di PPS dan pusat pangkalan bekalan, operasi pencarian dan menyelamat, serta bantuan pasca banjir.

“KDN sentiasa prihatin terhadap musibah banjir yang melanda negara dan berusaha memberikan bantuan dari segi tenaga kerja, logistik, serta aset untuk memastikan mangsa disantuni sewajarnya,” kata kenyataan tersebut. KDN turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca dan mengikuti perkembangan bencana melalui saluran rasmi.

Selain itu, Skuad Ihsan MADANI KDN telah bersiap siaga untuk melaksanakan bantuan pasca banjir. Beberapa agensi lain di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan, dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia akan turut terlibat.

Bagi mangsa banjir yang kehilangan dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil lahir, atau pasport, JPN dan JIM akan menyediakan penggantian dokumen secara percuma. Perkhidmatan ini juga akan disediakan melalui bas bergerak di kawasan terjejas.