
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengerahkan sebanyak 2,752 pegawai dan anggota di seluruh negara bagi memastikan kelancaran lalu lintas sempena cuti Deepavali dan hujung minggu ini. Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menyatakan bahawa aliran trafik dijangka akan meningkat sepanjang tempoh cuti Deepavali disebabkan tawaran tol percuma yang diberikan untuk hari ini dan esok bersempena dengan perayaan tersebut.
“JSPT menjangkakan aliran trafik akan sesak dengan pertambahan jumlah kenderaan. Melalui maklumat daripada pihak Konsesi Lebuhraya Utama (PLUS) dan lebuh raya konsesi yang lain, jangkaan 2.62 juta kenderaan dalam tempoh sehari.
“Pihak PLUS Berhad juga akan mengaktifkan 21 lokasi smartlane bagi mengurangkan kesesakan di lebuhraya,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa pihaknya meramalkan peningkatan pergerakan ke Pantai Timur, Utara dan Selatan negara akan menjadi luar biasa serta terdapat peningkatan yang ketara dalam aliran kenderaan di bahagian Pantai Barat termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang.
“Dari segi penguatkuasaan pula, keutamaan difokuskan kepada elemen advokasi, penyuraian aliran trafik dan tindakan kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.
Mohd Yusri turut menyarankan kepada semua pengguna jalan raya khasnya kenderaan berat atau perdagangan untuk memastikan kenderaan mereka berada di tahap terbaik, mematuhi segala peraturan ditetapkan, bertimbang rasa dan bertolak ansur dengan pengguna lain.
“Semua pengguna jalan raya diseru untuk merancang dahulu pergerakan terutama perjalanan yang jauh. Peka dengan persekitaran dan maklumat semasa daripada pihak agensi kerajaan juga pihak konsesi lebuhraya,” katanya.
Semalam, laporan menyatakan bahawa aliran trafik dijangka meningkat mulai hari ini dengan jangkaan sebanyak 2.62 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama menuju pantai timur, utara dan selatan sempena sambutan Deepavali.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Sazali Harun menganggarkan bahawa 2.13 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah kumpulan PLUS manakala 198,000 kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, 78,220 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, 59,220 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dan 153,700 kenderaan menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
