Global

‘Jangan pilih kasih perang di Gaza dan Ukraine’ – PBB

Guterres menggesa gencatan senjata di Gaza selain perang di Ukraine mengikut undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan. – Foto REUTERS

BRUSSELS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa gencatan senjata di Gaza.

Guterres menggesa gencatan senjata di Gaza selain perang di Ukraine mengikut undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan dan berkata tidak sepatutnya ada “pilih kasih” berhubung kedua-dua konflik itu.

Beliau bercakap demikian ketika tiba untuk bertemu pemimpin Kesatuan Eeropah (EU) di Brussels, sambil menyatakan jumlah korban awam dalam konflik di Gaza itu “belum pernah terjadi” sejak beliau memegang jawatan.

“Adalah penting untuk menuntut keamanan bagi Ukraine. Tetapi keamanan sepenuhnya selaras dengan prinsip yang bermaksud keamanan menghormati piagam (PBB), undang-undang antarabangsa dan integriti wilayah dan kedaulatan Ukraine.

“Itulah sebab mengapa kami percaya atas sebab yang sama bahawa kami memerlukan gencatan senjata di Gaza kerana kami mengutuk serangan pengganas pada 7 Oktober, sambil kami mengutuk semua pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Hamas, kami juga mengutuk sejumlah korban awam di Gaza yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada zaman saya sebagai Setiausaha Agung.

“Kita mesti berpegang pada prinsip di Ukraine dan juga di Gaza, tanpa pilih kasih,” katanya.

Kritikan antarabangsa telah meningkat ke atas Israel atas sebab jumlah kematian perang, krisis kebuluran di Gaza dan dakwaan menyekat penghantaran bantuan ke kawasan tersebut.

Lebih 31,988 rakyat Palestin terbunuh dan 74,188 cedera dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober.

Menurut Kementerian Kesihatan, kebanyakan yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak.