KUALA LUMPUR: Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak pengurusan KK Supermart Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) sekiranya terbukti berlaku unsur kecuaian dalam kes penjualan stoking tertera kalimah Allah kerana ia melibatkan sensitiviti 3R (bangsa, agama dan raja).
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata tindakan itu sebagai pengajaran kepada semua pihak agar insiden seumpama ini tidak berulang di masa hadapan.
“Sebenarnya perkara seperti ini bukan pertama kali, ia pernah berlaku sebelum ini…oleh itu IKIM menyarankan supaya masyarakat Malaysia mengambil pendekatan memahami dan mengetahui tentang perkara yang dibenarkan atau dilarang dalam sesebuah agama.
“Dalam hal ini, kita melihat Perlembagaan itu sendiri menjunjung kebebasan seseorang untuk menganut agama, namun agama Islam telah diberi satu kedudukan yang tinggi dalam agama di bawah Perkara 3 (1) dan agama lain dapat diamalkan dengan aman dan damai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dalam rancangan Malaysia Petang Ini yang diterbitkan Bernama TV semalam bagi mengulas isu berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di satu daripada cawangan kedai serbaneka terkemuka itu.
Mohamed Azam berkata insiden seperti itu tidak seharusnya berlaku tambahan pula umat Islam kini berada dalam bulan Ramadan yang mulia.
“Jika perkara ini berlaku di luar negara yang majoritinya beragama Islam, saya kira hukuman yang lebih berat pasti dikenakan…sebagai contoh menghina Jesus di negara majoritinya beragama Kristian seperti di England individu itu boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang Blasphemy,” katanya.
Bagaimanapun beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan di tangan sendiri dan menyerahkan hal itu kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Selain itu beliau berkata pihaknya juga menguar-uarkan pendekatan konsep ‘Fiqh al-Ta`ayusy’ atau ‘co-existence’ iaitu hidup orang Islam dan bukan Islam dalam keadaan yang aman dengan memahami pantang larang agama masing-masing.