PENDANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa persoalan dan pendedahan yang dibuatnya melibatkan negeri Kedah termasuk isu berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) bukanlah satu plot atau rancangan untuk memburukkan imej Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut beliau, isu-isu itu dibangkit adalah bagi mendapatkan perincian dan jawapan yang sebenar berhubung situasi yang berlaku di Kedah yang difahamkan mempunyai kaitan dengan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri Jelapang Padi itu.
Tambah bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, perkara-perkara yang dibangkitkan beliau tidak akan dilakukan sekiranya dirinya tidak mempunyai sokongan bukti yang kuat dan tulen.
“Saya tanya (soalan berkaitan isu-isu itu termasuk REE) sebab saya fikir dia ini (Menteri Besar perlu) ada prinsip responsibility and accountability, prinsip itu dulu.
“Saya tanya (dia), saya bukan tuduh, saya tanya sebab semua sedia maklum, Menteri Besar Kedah (ini) seorang seorang yang pantas untuk memberi penjelasan.
“Jadi saya tunggu jawapan-jawapan dia, saya takkan sebut (isu-isu itu) kalau saya tak ada dokumen yang kuat dan authentic,” katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika sidang media selepas sesi taklimat Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Jenun Baru di Pejabat Tapak LRA Jenun Baru, Pendang pada Khamis. Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa siri pendedahan yang dibuatnya melibatkan isu REE hanya berada di peringkat awal sahaja. Tambahnya, banyak lagi perkara yang akan didedahkan selepas ini sekiranya persoalan yang dibangkitkan itu tidak dijawab Muhammad Sanusi termasuk isu dua pekerja dari China, So Lai Fat dan Huang Zhi Yi.
“Ini baru tip of the iceberg, Datuk Sanusi tahu sebab dia Chairman Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan dua (warga China) ini majikannya adalah MBI, dan dua (orang) ini adalah (pemegang) pas profesional, tentulah Menteri Besar tahu mereka di mana.
“Sebab saya (selaku Menteri), di pejabat saya tahu staf saya di mana, saya tahu pegawai khas ada di mana, seorang ada di Kelantan, tiga di pejabat, dua ikut saya (ke Kedah), (itu semua) saya tahu, jadi dia mesti tahu sebagai (Pengerusi MBI), itu saya tanya (dua individu itu) ada di mana?,” katanya lagi.
Semalam Menteri Besar Kedah itu mendakwa wujud satu perancangan yang besar untuk memburukkan imej beliau selain memberi gambaran bahawa dirinya adalah seorang pemimpin yang bermasalah. Menurut Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu, perancangan yang dilakukan itu termasuklah melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengaitkan beliau dengan kecurian serta rasuah dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).