
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan ditahan secara berperingkat mulai minggu depan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah melibatkan anak syarikat FELDA.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, setakat ini 12 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan. Mereka termasuk ahli lembaga pengarah dan pegawai FELDA Investment Corporation, juru nilai, firma guaman serta pegawai agensi kerajaan berkaitan.
Enam kertas siasatan baharu dibuka bagi meneliti pembelian dan pengambilalihan aset yang didakwa dilakukan pada harga melebihi nilai sebenar sehingga menyebabkan kerugian kepada FELDA. Antara yang disiasat ialah Grand Borneo Hotel, Grand Plaza Serviced Apartments, FELDA House dan projek Kuala Lumpur Vertical City.
Satu kertas siasatan lama berkaitan hartanah Park City Grand Plaza juga masih diteliti melalui proses bantuan perundangan bersama. SPRM memaklumkan jumlah keseluruhan nilai rasuah yang dipercayai terlibat masih belum dikenal pasti kerana siasatan berada pada peringkat awal.




