KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam terbitan terbaharu menunjukkan inflasi yang mereda dan pasaran buruh yang bertambah baik merupakan penunjuk positif untuk ekonomi Malaysia.
Inflasi terus menurun pada Jun 2023 kepada kadar terendahnya pada separuh pertama 2023, menandakan paras terendah baharu 2.4 peratus daripada 2.8 peratus pada Mei 2023, kata DOSM dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu, pasaran buruh Malaysia terus bertambah baik pada Mei 2023, dengan bilangan pekerja meningkat sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun kepada 16.28 juta orang.
“Ini turut ditambah dengan peningkatan dalam nisbah pekerjaan kepada penduduk, yang meningkat kepada 67.6 peratus daripada 66.8 peratus pada tahun sebelumnya.
“Keseluruhan tenaga buruh juga meningkat sebanyak 2.0 peratus tahun ke tahun kepada 16.86 juta orang,” katanya.
Hasilnya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) menokok sebanyak 0.5 mata peratus, mencecah 70.0 peratus, manakala kadar pengangguran menyaksikan penurunan 0.4 peratus dengan merekodkan3.5 peratus pada Mei 2023.
Ia berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia telah mengalami pemulihan signifikan dengan merekodkan pertumbuhan positif 4.7 peratus.
Katanya, ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding negatif 3.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Pada masa yang sama, sektor pembuatan negara mencatatkan pemulihan kukuh pada Mei 2023, mencapai RM146.8 bilion, meningkat 3.3 peratus, manakala sektor perdagangan borong dan runcit merekodkan peningkatan 6.6 peratus pada Mei 2023 berbanding tahun sebelumnya, katanya.
Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meneruskan aliran penurunan, mencatatkan negatif 4.8 peratus bulan lepas, daripada negatif 4.6 peratus bulan sebelumnya.