
Kerajaan Indonesia telah menyekat kira-kira 3.7 juta laman sesawang dan kandungan berkaitan perjudian dalam talian sejak akhir 2024 dalam usaha memperhebat tindakan terhadap kegiatan haram tersebut.
Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Hafid berkata, operasi kini bukan hanya tertumpu kepada sekatan laman web, malah turut menyasarkan rangkaian kewangan yang menyokong aktiviti perjudian. Kira-kira 38,000 akaun bank dikenal pasti disyaki mempunyai kaitan, dengan sekitar 32,500 akaun ditutup selepas melalui proses semakan.
Tindakan itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara kementerian, Bank Indonesia, pihak perbankan, pengawal selia kewangan dan agensi penguatkuasaan bagi memutuskan keseluruhan rantaian perjudian dalam talian.




