TOKYO: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri makan malam bersama delegasi dan rakan pemimpin ASEAN lain di Tokyo, pada Ahad.
Perdana Menteri bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri makan malam itu di sela masa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.
“Ini memberi ruang kepada saya dan rakan sejawat menggunakan kesempatan yang ada untuk merapatkan hubungan sesama negara tetangga dalam ruang benua yang sama.
“Sebelum itu, kami sempat menaikkan tanglung berwarna-warni yang bersesuaian dengan rona keluarga ASEAN untuk dihiaskan di Tokyo Tower bersama sekumpulan pelajar tempatan. Terima kasih di atas detik yang amat bersejarah ini!,” kata Anwar.
Anwar menyertai pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, antara acara utama pada lawatan lima hari beliau ke Jepun.
Pemimpin daripada 10 negara anggota kecuali Myanmar, berada di Tokyo untuk sidang kemuncak itu. Sidang itu juga turut disertai Timor Leste.
Sidang itu merupakan kemuncak kepada aktiviti memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Jepun. Acara peringatan itu bermula dengan simposium di Jakarta, Indonesia, pada Februari dan di Tokyo pada Mac.
Sepanjang tahun ini, pelbagai acara dan projek telah dianjurkan oleh pihak swasta dan kerajaan bagi memperingati ulang tahun ke-50 itu.
Ini termasuk Minggu Perniagaan ASEAN-Jepun pada Jun, Mesyuarat Khas Menteri Kehakiman ASEAN-Jepun pada Julai, dan Dialog Khas Menteri Pelancongan ASEAN-Jepun pada Oktober.