Sukan

Hoki Dalam Dewan: Malaysia belasah Australia 8-2, tewas 5-7 kepada Namibia

Skuad negara seterusnya akan bertemu New Zealand dan Hong Kong esok, diikuti aksi terakhir liga menentang Afrika Selatan pada Jumaat. – Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan kempen edisi sulung Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah dengan cemerlang apabila membelasah Australia 8-2 pada saingan liga sepusingan semalam.

Bagaimanapun, skuad negara bimbingan Mohd Hanip Che Halim gagal mengekalkan momentum apabila tewas 5-7 kepada Namibia pada aksi kedua pada perlawanan sebelah petang di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Pada perlawanan menentang Australia, ranking ke-14 dunia, Muhamad Izham Azhar muncul wira pasukan negara apabila melakukan jaringan hatrik pada minit ke-23, 24 dan 35.

Gol lain dijaringkan oleh Danial Asyraf Abdul Ghani (minit kesembilan), Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (13′), Muhammad Firdaus Omar (16′), Faridzul Afiq Mohd (22′) dan Mohd Shafiq Yaacob (32) manakala Australia membalas jaringan menerusi Leong Jett (10′) dan Hall Ross pada minit ke-14.

Dalam pada itu, Namibia, ranking ke-13 dunia, membuka jaringan menerusi Britz John-Paul pada minit kesembilan, Finch Dylan (2′, 33′), Hansen Fagan (30′, 37′) dan Van Der Merwe Cody (31′, 39′).

Syed Mohamad Syafiq melakukan jaringan hatrik pada minit ke-22, 29 dan 40 manakala Faridzul Afiq Mohd (7′) dan Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit ke-27.

Gol Namibia diperoleh menerusi Finch Dylan (2′, 33′), Hansen Fagan (30′, 37′), Van Der Merwe Cody (31′, 39′) dan Britz John-Paul pada minit kesembilan.

Skuad negara seterusnya akan bertemu New Zealand dan Hong Kong pada Rabu ini diikuti aksi terakhir liga menentang Afrika Selatan pada Jumaat.

Ketua jurulatih negara, Mohd Hanip Che Halim berkata anak buahnya telah beraksi dengan baik dan memberikan komitmen penuh dalam kedua-dua aksi tersebut walaupun terpaksa akur dengan Namibia.

“Prestasi keseluruhan pasukan memang baik. Kita akan merujuk kepada video untuk atasi kelemahan dan bersedia untuk perlawanan seterusnya…Kita kena mencatatkan kemenangan dalam aksi seterusnya, harap semua pemain pamerkan prestasi yang lebih baik,” katanya menerusi video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia.

Dua pasukan teratas liga sepusingan akan berentap pada final untuk menentukan juara pada Sabtu manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan ketiga.