TempatanJenayah

Fahmi Reza Ditahan untuk Siasatan di Bawah Akta Hasutan 1948

Polis telah menahan Fahmi Reza bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Hasutan 1948 selepas aktivis dan pereka grafik itu hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Penampang, Kota Kinabalu, pada Isnin

KOTA KINABALU: Polis menahan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 setelah beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Penampang pada petang Isnin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, mengesahkan penahanan Fahmi dan memaklumkan bahawa siasatan terhadap kes tersebut sedang dijalankan. “Ya, kes ini masih dalam siasatan,” katanya secara ringkas.

Dalam sidang media pada petang Isnin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Jauteh menyatakan bahawa lebih 30 laporan polis telah diterima di Sabah berhubung tindakan Fahmi yang dikaitkan dengan hasutan. Beliau menjelaskan bahawa Fahmi didakwa menampal karikatur melibatkan imej Tun Musa Aman, yang bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, di beberapa lokasi termasuk Kota Kinabalu. Selain itu, isu-isu lain berkaitan hasutan juga sedang disiasat.

Beberapa hari lalu, tular video berdurasi 40 saat menunjukkan Fahmi di Kota Kinabalu sedang menampal karikatur tersebut. Video itu turut memaparkan tulisan “Solidariti dengan rakyat Sabah yang melawan rasuah, melawan korapsi.”

Semakan di laman Facebook milik Fahmi mendapati video itu dikongsi pada 27 Disember lalu, bersama beberapa kiriman lain yang berkaitan dengan karikatur tersebut.