GlobalSukan

F1: Max Verstappen mengeluh kalendar terlalu padat

Aksi Max Verstappen di podium selepas memenangi perlumbaan GP Austria F1 di litar lumba Red Bull Ring, Spielberg, Austria, 2 Julai 2023.

MAX Verstappen percaya kalendar Formula Satu (F1) musim depan terlalu panjang dan membayangkan ia akan menjadi faktor sama ada dia kekal dalam sukan itu selepas 2028.

Bagaimanapun, pemandu Mercedes-AMG Petronas F1 George Russell berpendapat, pemandu Red Bull itu hanya mahukan lebih banyak wang.

Pelumba Belanda itu sedang memburu kejuaraan ketiga berturut-turut apabila mendahului 81 mata menjelang Grand Prix (GP) British hujung minggu ini.

Namun, dia sekali lagi meluahkan rasa tidak puas hati yang berterusan dengan unsur-unsur sukan itu yang mungkin menyebabkan dia berundur di penghujung kontraknya.

Kalendar F1 2024 yang akan menampilkan 24 perlumbaan dikeluarkan semalam yang bermula 2 Mac dan berakhir pada 8 Disember.

Verstappen mengatakan ia melampau dan setelah mengecam pertambahan sesi perlumbaan pecut dan peraturan kereta baru untuk 2026 musim ini, dia mahu kriteria tertentu diubah jika dia ingin melanjutkan kariernya dalam sukan itu.

“Terlalu banyak (perlumbaan) untuk saya tetapi kami hanya perlu menanganinya,” kata Verstappen yang perjanjiannya di Red Bull tamat pada 2028.

“Saya rasa sekurang-kurangnya perancangan menjadikan kalendar perlumbaan sedikit lebih logik, saya rasa itu lebih baik untuk semua orang.

“Tetapi lebih banyak aspek perlu dinilai untuk saya membuat keputusan sama ada saya akan kekal lebih lama atau tidak dalam kancah ini.

“Namun, saya fikir perkara ini pastinya tidak membantu.”