Tempatan

EMPAT PETUGAS KESIHATAN KKM TERLIBAT DALAM TRAGEDI HELIKOPTER ULU BARAM

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan empat petugasnya terlibat dalam insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Berdasarkan maklumat awal, helikopter berkenaan berlepas dari Miri. Status juruterbang dan semua penumpang serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan ketika kenyataan dikeluarkan.

KKM sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan untuk mendapatkan perkembangan terkini, selain menghubungi keluarga mereka yang terlibat bagi memberikan sokongan sewajarnya. Orang ramai turut diminta tidak membuat spekulasi ketika operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.